Negara perlukan 45% pekerja berkemahiran tinggi

Negara perlukan 45% pekerja berkemahiran tinggi

MALAYSIA memerlukan sekurang- kurangnya 45 peratus pekerja berkemahiran tinggi sekiranya mahu bersaing dengan negara terkemuka dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, peratusan pekerja berkemahiran tinggi di Malaysia hanya mewakili 29.6 peratus.

Sehubungan itu, beliau berkata, amat penting untuk merancakkan semula ekosistem teknologi dan inovasi, bukan sahaja menerusi bekalan bakat berterusan, malah berusaha mengurangkan ‘brain drain’ dalam kalangan bakat hebat tempatan.

“Bagi merealisasikan hasrat ini, kerajaan komited menyediakan infrastruktur terbaik untuk memacu inovasi tempatan.

“Apa yang diperlukan sudah pasti sebuah lokasi sebagai hab inovasi dengan infrastruktur yang bersepadu,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Pelan Induk Baharu Taman MRANTI dan Penjenamaan Baharu MIMOS Berhad, hari ini.

Ismail Sabri berkata, pelan induk itu akan memupuk keupayaan Malaysia dalam mendepani Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), yang memberi fokus kepada teknologi terkini daripada sistem Internet pelbagai benda (IoT), perkhidmatan Protokol Internet (IP) dan makmal kepada kemudahan pembuatan kontrak dengan teknologi canggih.

“Taman MRANTI ini dilengkapi dengan infrastruktur moden, termasuk jalur lebar berkelajuan tinggi dan teknologi 5G serta insentif dan peluang pembiayaan, juga direka untuk menarik golongan profesional muda, serta mewujudkan laluan yang stabil bagi bakat berkemahiran tinggi.

“Ia dijangka mencipta lebih 8,000 peluang pekerjaan baharu dan ini adalah berita baik untuk seluruh Keluarga Malaysia,” katanya.

Perdana Menteri berkata, dengan lokasi terletak kira-kira 15 kilometer dari Bandar Malaysia, Taman MRANTI berperanan menyelaras keluaran penyelidikan dan pembangunan (R&D) ke pasaran menerusi ekosistem bersepadu, yang memusatkan semua aktiviti teknologi dan inovasi secara setempat.

Beliau berkata, Taman MRANTI juga menyaksikan kerjasama dengan lima koridor ekonomi iaitu Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Koridor Pembangunan Sabah (SDC), Iskandar Malaysia dan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) dalam mempromosi dan mengguna pakai keluaran teknologi R&D serta pengkomersialan.

Selain itu, Ismail Sabri berkata lima kluster teknologi sedang dibangunkan di Taman MRANTI iaitu teknologi dron, pertanian, kesihatan, biosains dan pemboleh 4IR dengan anggaran nilai pembangunan kasar sebanyak RM20 bilion.

Perdana Menteri berkata, lima kluster teknologi itu juga dijangka membawa nilai pulangan sebanyak RM2.8 bilion melalui pajakan tanah oleh MRANTI kepada pelabur. – Malaysiapost

Komen