Pantau aktiviti anak anda

Pantau aktiviti anak anda

POLIS mengesahkan mengenai kejadian seorang kanak-kanak yang dirakam bermain secara berbahaya di tingkap sebuah unit kondominium di kawasan Larkin, Johor seperti video yang tular di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata pada jam 9.15 pagi semalam pihaknya mengesan video tular berkenaan yang dimuatnaik di laman Facebook ‘Community Roda Johor’ (CRJ).

Menurutnya, video berdurasi 21 saat itu memaparkan seorang kanak-kanak dibiarkan secara berbahaya tanpa pengawasan di sebuah tingkap di tingkat 16 kondominium berkenaan.

“Hasil siasatan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan mengesahkan kejadian itu berlaku pada 5 Oktober lalu membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun.

“Kanak-kanak terbabit datang menziarah rumah bapa saudaranya di kondominium berkenaan dan dikatakan bermain di luar tingkap di tingkat 16 kondominium itu tanpa pengetahuan bapa saudaranya dan ahli keluarga lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, semasa kehadiran polis ditempat kejadian, didapati kanak-kanak terbabit telah tiada di rumah dan dikatakan telah mengikut bapanya pulang ke rumah mereka di Pasir Gudang.

“Polis IPD Johor Bahru Selatan telah memberi nasihat kepada ahli keluarga kanak-kanak terbabit supaya memasang pagar besi di tingkap di kediaman itu bagi tujuan langkah-langkah keselamatan agar kejadian sedemikian tidak berlaku lagi.

“Ibu bapa dan ahli keluarga juga dinasihatkan agar memantau tingkah laku atau aktiviti anak-anak supaya tidak berlakunya kejadian yang tidak diingini.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak membuat apa Juan spekulasi mengenai kejadian ini,” katanya. – Malaysiapost

Komen