Parlimen bubar esok?

Parlimen bubar esok?

SELEPAS Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bertemu lima pemimpin utama Umno, spekulasi mengenai pembubaran Parlimen akan berlaku esok semakin hebat.

Beberapa sumber dalaman Umno mengesahkan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah perkenan berhubung cadangan pembubaran Parlimen.

Malaysiapost difahamkan pembubaran Parlimen akan berlaku selepas mesyuarat Kabinet dan pembentangan Bajet 2023.

“Insya Allah esok bubar,” katanya kepada Malaysiapost.

Bagaimanapun katanya, Yang di-Pertuan Agong mahukan Bajet 2023 dibentangkan juga esok oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Terdahulu, Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara kira-kira jam 4 petang tadi.

Pertemuan yang berlangsung hampir sejam itu dipercayai turut membincangkan soal pembubaran Parlimen selain mesyuarat Pra-Kabinet.

Selesai menghadap Agong, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno bertemu Presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Selepas pertemuan dengan Ahmad Zahid, Ismail Sabri ketika ditemui memaklumkan bahawa pembubaran Parlimen semakin hampir.

Bagaimanapun Malaysiapost difahamkan pertemuan Ismail Sabri dan Ahmad Zahid dalam suasana harmoni dan ceria.

Sementara itu sumber kerajaan di Putrajaya ketika dihubungi tidak dapat mengesahkan perkara itu.

“Di luar pengetahuan saya,” katanya.

Istana Negara pula tidak mengeluarkan sebarang kenyataan, sebaliknya hanya memuatnaik gambar pertemuan Ismail Sabri bersama Agong bagi mesyuarat Pra-Kabinet.- Malaysiapost

Komen