PH melampau, merosakkan dan menganuti liberalisme – Abdul Hadi

PH melampau, merosakkan dan menganuti liberalisme – Abdul Hadi

TIADA sebab munasabah untuk merungkai dan menasakhkan keputusan yang telah dimeteraikan dalam piagam Muafakat Nasional (MN) kepada gabungan yang hanya terhad kepada Umno dan Pas sahaja, kata Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Presiden Pas itu berkata, ia kerana kedua-dua parti telah bersetuju memasukkan Bersatu ke dalam gabungan MN dan jika terdapat perbalahan antara Umno dan Bersatu, maka laksanakanlah firman Allah SWT.

“Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Oleh itu, damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua-dua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat,” katanya merujuk Surah al-Hujurat ayat 10.

Beliau berkata demikian dalam Minda Presiden Pas di laman Facebooknya yang menegaskan bahawa Pas berpegang kepada konsep wasatiyyah dan akan mempertahankannya demi menyelamatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, Pas menerima konsep wasatiyyah Islam yang mendahulukan konsep perdamaian dan keamanan, sama ada ketika lemah atau kuat, kalah atau menang.

“Konsep ini sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, maka Pas akan menentang mana-mana pihak yang cuba merungkaikannya.

“Pas juga menegaskan haramnya fanatik perkauman walaupun masing-masing kasih kepada bangsa dan keluarga yang diakui menjadi fitrah manusia. Akan tetapi, perkara tersebut tidak boleh sekali-kali mengatasi akidah beragama supaya seseorang itu tidak melampaui batas,” katanya.

Abdul Hadi berkata, Pakatan Harapan (PH) yang berjaya mengambil alih kerajaan pusat secara campuran sebelum ini berideologi pragmatik dengan berbagai-bagai parti yang termakan dengan tawaran yang menarik.

“Tambahan lagi, rakyat ditipu dengan manifesto yang tidak dapat ditunaikan dan merupakan janji bohong, berserta dukungan pemberi rasuah yang lebih mudarat daripada penerima rasuah dan pelbagai makhluk asing.

“Bukan dengan kekuatannya secara mutlak. Setelah memperoleh kemenangan bukan memikirkan cara menyelesaikan masalah negara dan rakyat, tetapi secara rakus berkuasa dan berbahas berkenaan siapakah Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata, keadaan itu berjaya mengumpulkan tiga parti terbesar Melayu Islam dan Bumiputera iaitu Umno, Pas dan Bersatu bersama dengan parti lain dari Sabah dan Sarawak, termasuklah kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem.

“Hasil gabungan ini telah berjaya menjatuhkan PH dan menubuhkan sebuah kerajaan campuran Perikatan Nasional (PN).

“Pas sangat mengharapkan perpaduan yang diusahakan sehingga berjaya menubuhkan kerajaan campuran PN bersama parti-parti dari Sabah dan Sarawak, bergabung bagi mempertahankan kepimpinan Melayu Islam dan Bumiputera,”katanya.

Menurutnya, selain itu diharapkan juga kepada parti bukan Islam yang tidak ekstrem dan menolak PH yang berideologi pragmatik dan liberal yang tidak boleh menyelamatkan negara dan masyarakat majmuk di negara ini.

“Jadikan slogan bersama perpaduan iaitu ‘Selamatkan Negara dan Rakyat Bersama Islam’, bukannya slogan selamatkan diri dan kumpulan tertentu sahaja.

“Mari kita bersama-sama menolak PH yang melampau, merosakkan dan menganuti liberalisme yang hanyut boleh menenggelamkan.

“Sesungguhnya, di belakang mereka penyumbang rasuah yang lebih besar mudaratnya daripada penerima rasuah,” katanya. – Malaysiapost

Komen