PH takut PRU-15 diadakan tahun ini kerana isu Tommy Thomas – Zaid Ibrahim

PH takut PRU-15 diadakan tahun ini kerana isu Tommy Thomas – Zaid Ibrahim

PAKATAN Harapan (PH) takut berdepan pilihan raya dalam masa terdekat adalah kerana isu siasatan terhadap bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas mengenai pendedahan dan dakwaan dalam buku penulisannya.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim mendakwa isu berkenaan bakal menunjukkan salah laku PH semasa mereka berkuasa dahulu.

Menurutnya, disebabkan perkara itu pembangkang berusaha menghalang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan tahun ini dengan pelbagai alasan seperti pandemik Covid-19, musim tengkujuh, kemelesetan ekonomi, perayaan dan banyak lagi.

“Orang bertanya kenapa pembangkang takut sangat nak buat pilihan raya sekarang. Mengapa mereka kata tidak sesuai kerana musim banjir, dulu musim Covid-19, ekonomi meleset, perayaan Deepavali dan banyak lagi alasan.

“Sebenarnya mereka takut pada satu isu besar iaitu isu yang didedahkan oleh Tommy Thomas dalam bukunya,” katanya dalam satu rakaman video dimuat naik di laman Facebooknya, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan telah pun menubuhkan satu Jawatankuasa Khas berhubung isu berkenaan dan jawatankuasa itu telah membuat keputusan serta ketetapan mengenai banyak perkara yang menunjukkan salah laku PH semasa berkuasa dahulu.

“Pendedahan ini yang membimbangkan mereka sebenarnya. Mereka takut kalau terbukti apa yang dikatakan berlaku pada masa itu. Maka rancangan mereka rosak.

“Contohnya rancangan mereka untuk Datuk Seri Najib Razak (bekas Perdana Menteri) kekal dalam penjara mungkin tercabar.

“Kita tahu ada semakan semula kes SRC International Sdn Bhd yang mungkin dalam masa sebulan lagi. Mungkin sesuatu keputusan memihak kepada Najib boleh berlaku,” katanya.

Menurutnya, PH takut kemungkinan pendedahan mengenai hakim-hakim yang dilantik ketika PH berkuasa akan menjadi isu kerana jika pelantikan hakim tidak sah, maka penghakimannya tidak boleh diterima.

“Inilah yang PH takut sangat nak buat pilihan raya sekarang. Kerana Tommy dan Tun Dr Mahathir Mohamad akan menjadi ‘pemain utama’ dalam pilihan raya ini kerana mereka berdua ‘tag team’ dalam isu ini,” katanya.

Beliau mendakwa, kalau isu membabitkan pelantikan hakim yang tidak sah terbukti termasuk pemilihan hakim dalam kes Najib, maka inilah yang ditakutkan sangat oleh PH pada pilihan raya nanti.

“Keadilan akan menjadi isu penting. Bukan sahaja keadilan yang dituntut oleh orang Melayu tetapi seluruh rakyat Malaysia dalam masa terdekat ini. Inilah yang menjadi penentu dalam pilihan raya kali ini,” tegasnya.

Sementara itu, beliau turut menjangkakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menghadap dan meminta perkenan Yang di-Pertuan Agong supaya Parlimen dibubarkan hari ini.

“Inilah harapan kita semua kecuali parti pembangkang,” katanya. – Malaysiapost

Komen