PM jumpa Agong di Istana Negara

PM jumpa Agong di Istana Negara

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, jam 3.49 petang tadi.

Ketibaan Perdana Menteri yang menaiki Toyota Alphard berwarna putih disambut hampir 100 petugas media yang berkampung di hadapan pintu utama Istana Negara.

Sesi Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini mendapat perhatian berikutan spekulasi menyatakan beliau akan memohon pembubaran Parlimen daripada baginda bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pertemuan itu dijangka turut membincang mengenai Bajet 2023, sebelum belanjawan negara itu dibentangkan di Dewan Rakyat petang esok.

Khabar angin Perdana Menteri dijangka memohon perkenan baginda untuk pembubaran Parlimen tercetus susulan keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Jumaat lalu, yang membuat ketetapan supaya PRU-15 diadakan tahun ini.

Terdahulu, Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Affendi Buang tiba di Pintu Utama Istana Negara dengan menaiki kenderaan Toyota Camry berwarna hitam untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong sekitar jam 2.15 petang tadi. – Malaysiapost

Komen