PM jumpa Zahid selepas mengadap Agong

PM jumpa Zahid selepas mengadap Agong

SELEPAS menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara petang tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menghadiri pula mesyuarat bersama kepimpinan tertinggi Umno.

Mesyuarat yang berlangsung di Menara Dato Onn bermula jam 5 petang bersama Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu dipercayai bagi membincangkan soal pembubaran Parlimen.

Malaysiakini yang memetik sumber melaporkan pertemuan Perdana Menteri dengan Ahmad Zahid berlangsung dalam suasana harmoni.

“Ya, Perdana Menteri sedang bertemu Presiden. Dalam suasana harmoni,” kata sumber itu.

Terdahulu, Perdana Menteri bergerak dari Istana Negara jam 4.45 petang selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong hampir sejam.

Sesi Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini mendapat perhatian berikutan spekulasi beliau memohon pembubaran Parlimen daripada baginda bagi memberi laluan kepada pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ismail Sabri dipercayai turut menyentuh mengenai Bajet 2023 dalam pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong, sebelum pembentangan di Dewan Rakyat petang esok.

Khabar angin mengatakan Perdana Menteri dijangka memohon perkenan baginda untuk pembubaran Parlimen tercetus susulan keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Jumaat lalu yang membuat ketetapan supaya PRU-15 diadakan tahun ini. – Malaysiapost

Komen