PRU15: Enggan bubar DUN 3 negeri, bukti PH tidak berani berdepan BN – Zahid

PRU15: Enggan bubar DUN 3 negeri, bukti PH tidak berani berdepan BN – Zahid

KEPUTUSAN Pakatan Harapan (PH) tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) jika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat membuktikan gabungan itu tidak bersedia menghadapi pilihan raya dan Barisan Nasional (BN).

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kekalahan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Johor, dan Sarawak menunjukkan pembangkang tidak lagi diterima oleh pengundi mereka dahulu.

Katanya, perkara itu adalah kebimbangan utama PH serta musuh BN, dan bagi mengelak kekalahan mereka enggan berdepan PRU dalam tempoh terdekat.

“Mereka sanggup arah kerajaan negeri mereka agar tidak bubar DUN atas ketakutan ini. Sedangkan mereka juga bising apabila membuat pilihan berasingan sebelum ini.

“(Ini kerana) semakin ramai pengundi mereka dahulu berasa terperdaya kini kurang mahu mengundi PH. Yang jelas mereka (pengundi) yang kecewa mengundi PH pada PRU13 dahulu tidak mahu mengundi PH termasuk bekas sekutu mereka, Bersatu,” katanya menerusi Facebook.

Malah, Ahmad Zahid juga percaya protes berkenaan dijangka berlaku dalam tiga cara termasuk yang pertama mereka tidak lagi mengundi sebaliknya mengundi BN.

“Yang kedua, kelompok penyokong PH dan Bersatu memprotes tidak mahu turun mengundi. Ini jelas dalam PRN Melaka, Sarawak dan Johor. Yang ketiga, ada pula kata akan membuat undi rosak bagi protes PH,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, pembangkang sebelum ini asyik menyatakan kos pilihan raya sangat besar sedangkan tindakan mereka tidak mahu membubar DUN serentak dengan Parlimen merupakan pembaziran kos dan meningkatkan perbelanjaan kerajaan.

“Kali ini pembangkang gunakan isu musim tengkujuh pula untuk alasan elak pilihan raya. Alasan ini basi dan menyerlahkan lagi ketidakberanian pembangkang berdepan BN.

“Alasan pembangkang ini seolah-olah pembangkang tidak yakin dan memperkecilkan pengalaman dan profesionalisme institusi awam termasuk agensi kesihatan, keselamatan dan agensi bencana.

“Alasan ini juga seolah-olah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak ada pengalaman dalam menguruskan proses pilihan raya dilaksanakan sebelum ini,” katanya.

Semalam, Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan tiga mengeri ditadbir gabungan itu iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang tidak akan membubarkan DUN jika PRU15 diadakan tahun ini.

Tegasnya, fokus pentadbiran ketiga-tiga negeri itu kini adalah untuk menangani isu banjir yang akan memberi kesan kepada rakyat. – Malaysiapost

Komen