Rafizi dedah MA Analytics ada kaitan dengan anak, isteri Timbalan Menteri Pertahanan

Rafizi dedah MA Analytics ada kaitan dengan anak, isteri Timbalan Menteri Pertahanan

KERAJAAN digesa membatalkan Surat Niat penganugerahan kontrak perolehan meriam artileri jenis Self Propelled Howitzer (SPH) kepada MA Analytics Sdn Bhd yang didakwa mempunyai kaitan dengan anak Timbalan Menteri Pertahanan.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, berkata semakan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan siasatan pihaknya mendapati MA Analytics Sdn Bhd didalangi pihak berkepentingan yang ada kaitan dengan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

“Semakan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan siasatan ke atas individu terbabit dalam MA Analytics Sdn Bhd menunjukkan pemilikan bersama syarikat dengan anak Ikmal Hisham

“…. iaitu Ikmal Hadzlan Ikmal Hisham dan isteri Ikmal Hisham iaitu Datin Seri Norihan Ayob,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Malah Rafizi berkata, beliau akan menunjukkan bukti-bukti pemilikan bersama yang mengesahkan bahawa MA Analytics adalah syarikat kroni berkait dengan Timbalan Menteri Pertahanan esok.

“Saya pasti Hishamuddin sedia maklum mengenai perkara ini. Jika dia (Hishammuddin) benar-benar prihatin mengenai kepentingan pertahanan negara, wajarlah dia mengambil tindakan sebagai Menteri Pertahanan membatalkan Surat Niat kepada MA Analytics Sdn Bhd dengan segera.

“Saya juga menunggu maklum balas dari Ikmal Hisham mengenai pendedahan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Rafizi berterima kasih kepada Hishamuddin kerana memberi maklum balas positif mengenai pendedahan kontrak pembekalan meriam artileri SPH berjumlah RM834 juta berkenaan.

“Saya telah mendedahkan bagaimana keputusan Kerajaan Persekutuan melantik MA Analytics, sebuah syarikat setahun jagung untuk dianugerahkan kontrak ini secara rundingan terus adalah bertentangan dengan kehendak pertahanan negara.

“Kementerian Pertahanan secara jelas memohon supaya kontrak ini dibuat secara tender terhad supaya spesifikasi pertahanan dapat dipenuhi pada harga yang terbaik untuk negara.

“Kenyataan Hishamuddin itu mengesahkan bahawa keputusan Kerajaan Persekutuan memberi tender secara rundingan terus itu adalah benar,” katanya.

Menurut Rafizi lagi, jawapan Hishammuddin semalam hanyalah menyebut bahawa kontrak itu tidak muktamad kerana masih dirundingkan.

“Masalahnya, jika keputusan Kerajaan Persekutuan melalui Surat Niat tidak dibatalkan segera, kontrak itu masih lagi akan diberikan kepada MA Analytics Sdn Bhd. Yang mungkin berubah hanyalah harga akhir yang dibayar oleh rakyat,” katanya.

Justeru, Rafizi menegaskan kerajaan hendaklah kembali kepada proses tender terhad seperti yang disarankan Kementerian Pertahanan mengikut spesifikasi persenjataan yang telah ditetapkan oleh Angkatan Tentera Darat.

Semalam, Kementerian Pertahanan mengesahkan tender perolehan meriam artileri jenis SPH untuk kegunaan Tentera Darat Malaysia (TDM) belum diserahkan kepada mana-mana syarikat.

Hishammuddin berkata, sebaliknya tender untuk projek membabitkan peruntukan RM854 juta itu masih lagi berjalan. – Malaysiapost

Komen