Tak perlu buat pilihan, PAS sebahagian daripada PN – Tuan Ibrahim

Tak perlu buat pilihan, PAS sebahagian daripada PN – Tuan Ibrahim

TIMBALAN Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan PAS tidak membuat sebarang pilihan sama ada bersama Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana parti itu sebahagian daripada PN.

Beliau berkata, bagaimanapun perbincangan perlu dibuat kerana beberapa kerusi perlu keputusan muafakat untuk mengelakkannya jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH).

“Tak ada pilihan. Kita sebahagian dari PN. Cuma ada beberapa kerusi yang kita rasa perlu kita duduk dan bermuafakat untuk mengelak kerusi tersebut jatuh ke tangan PH,” katanya.

Mengulas berkenaan PAS dikatakan bakal meletakkan calon di Sepang, Tuan Ibrahim berkata, PAS lagi berbincang berkenaan perkara tersebut.

“Kita belum muktamad lagi…kita ada jawatankuasa (sedang bincang)…Jawatankuasa nanti akan buat pelaporan,” ujarnya lagi.

Dalam masa sama, beliau berkata PAS tetap dengan agenda muafakat penyatuan ummah, dan tidak hanya digunakan untuk PRU15.

“Muafakat Penyatuan ummah itu agenda PAS yang kita bawa kemana-mana pun. Jadi saya fikir tidak ada isu. Bukan sekadar dalam konteks PRU, tetapi kerangka lebih besar dari PRU.

“Mana-mana kita boleh pakat, dalam politik. Bagi saya dalam politik ni kurangkan musuh ramaikan kawan. Itu asas,” katanya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim memberitahu masih belum mendapat maklum balas berkenaan surat yang diutuskan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenaan bantahan mengadakan PRU15 tahun ini.

“Belum (terima maklum balas). Kita menyatakan pendirian,” katanya.

Terdahulu, seramai 12 menteri PN semalam mengutuskan surat kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung pendirian gabungan itu yang tidak mahu PRU15 diadakan pada tahun ini.

Gabungan itu berpendirian kebajikan rakyat adalah perkara penting yang perlu diberikan tumpuan ketika ini. – Malaysiapost

Komen