Wadah PN Selangor semakin utuh – Azmin

Wadah PN Selangor semakin utuh – Azmin

STRUKTUR serta asas wadah Perikatan Nasional (PN) di Selangor semakin utuh, kata Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pengerusi PN Selangor itu melontarkan keyakinan tersebut ketika timbul desas-desus PAS akan meninggalkan PN untuk bersama Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurut Mohamed Azmin, keyakinan itu dicerminkan menerusi kehadiran pemimpin akar umbi daripada Bersatu, PAS dan Gerakan pada Majlis Makan Malam dan Penyerahan Watikah Ketua Badan Perhubungan Kawasan PN Selangor, malam tadi.

“Saya yakin, kesatuan utuh, dasar progresif serta prinsip dan integriti yang dizahirkan PN bakal menggalang dukungan dan sokongan rakyat Selangor demi kesejahteraan dan kemakmuran masa hadapan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada semua yang dilantik Ketua Badan Perhubungan Kawasan PN Selangor dan berharap lantikan itu akan menggilap semangat dan tekad untuk berkhidmat.

“Perikatan Nasional untuk Selangor kembali gagah!,” katanya.

Majlis itu dihadiri Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man serta Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau. – Malaysiapost

Komen