10 pegawai PDRM sertai misi pengaman PBB di Sudan Selatan

10 pegawai PDRM sertai misi pengaman PBB di Sudan Selatan

SERAMAI 10 pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyertai Misi Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Sudan Selatan bermula 10 Oktober ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, atur gerak itu membabitkan sembilan pegawai kanan dan seorang pegawai rendah terdiri daripada tujuh lelaki serta tiga wanita yang akan berkhidmat di bawah panji-panji PBB selama setahun.

“Sebagai wakil PDRM yang membawa nama negara, saya menyeru tuan-tuan dan puan-puan untuk sentiasa mematuhi segala peraturan serta arahan Pasukan, UNPOL dan PBB.

“Laksanakanlah tugas dengan penuh dedikasi serta profesional dan jagalah etika serta disiplin sepanjang berkhidmat di negara orang. Selain itu, bekerjasamalah dengan sahabat-sahabat dari lain-lain negara yang turut menyertai misi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Penyampaian Amanat dan Atur Gerak Misi Pengaman PBB di Bukit Aman, pagi tadi.

Turut berlangsung dalam majlis sama ialah pemakaian lencana ‘Center of Excellence for Stability Police Units’ (CoESPU) kepada pegawai kanan polis yang telah menghadiri kursus luar negara tajaan PBB di Itali.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain. – Malaysiapost

Komen