2 maut, 3 kanak-kanak cedera nahas 2 kenderaan

2 maut, 3 kanak-kanak cedera nahas 2 kenderaan

Ben Ibrahim

DUA wanita maut manakala tiga kanak-kanak cedera dalam nahas dua kenderaan di Simpang Cenderawasih, Jalan Kuantan – Segamat, dekat Muadzam Shah, petang tadi.

Kemalangan kira-kira jam 3 petang itu membabitkan kereta jenis Perodua Myvi dan Viva.

Pegawai Perhubungan Awam Bomba Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pusat gerakan operasi (PGO) menerima laporan kemalangan itu jam 3.23 petang.

“Operasi menyelamat mangsa dilakukan enam pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah dengan sebuah jentera.

“Terdapat empat penumpang dalam Perodua Myvi dan dua daripadanya meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas tersepit dalam kenderaan itu.

“Tiga kanak-kanak yang cedera pula berada dalam Perodua Viva bersama dua lagi mangsa, dipercayai ibu bapa mereka,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Zulfadli berkata, mayat mangsa dikeluarkan dari kenderaan terbabit sebelum dihantar ke Hospital Muadzam Shah bagi tujuan bedah siasat.

Katanya, mangsa yang cedera juga dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

Kes kemudiannya diserahkan kepada pihak polis bagi siasatan. – Malaysiapost

Komen