Bajet 2023 bukan belanjawan untuk PRU – Shahril 

Bajet 2023 bukan belanjawan untuk PRU – Shahril 

KETUA Penerangan Umno, Shahril Hamdan menolak dakwaan pembangkang yang menyifatkan Bajet 2023 sebagai ‘belanjawan untuk pilihan raya’. 

Beliau berkata, Bajet 2023 kali ini bukan semata-mata mengambil hati rakyat dengan menyalurkan bantuan tunai. 

“Benar, bantuan tunai kali ini paling tinggi dalam sejarah mana-mana bajet. Benar, pinjaman ASB Amanah Saham Bumiputera untuk B40 ditetapkan hanya 1.5 peratus sekali gus hampir menjamin keuntungan tahunan. 

“Benar, kali ini M40 pun ada bantuan yang tersasar terhadap mereka. Benar, golongan belia dan e-hailing juga mendapat manfaat khusus dari bantuan tunai, perlindungan insurans sehingga pinjaman mudah untuk pembelian kenderaan mahupun ‘food truck’. 

“Namun, bajet kali ini tidak langsung melupakan agenda jangka panjang yang bukan bersifat populis semata-mata,” katanya dalam hantaran Facebook. 

Shahril berkata, perbelanjaan pembangunan sebanyak RM95 bilion yang diumumkan hari ini adalah terbesar dalam sejarah. 

Katanya, langkah-langkah dan peruntukan yang diumumkan bagi menarik pelaburan dalam industri yang dikenal pasti, di samping untuk mencapai sasaran antara 10 negara berdaya saing di dunia. 

“Ataupun segala langkah ke arah sasaran karbon neutral, termasuklah pengecualian fi Permit Import (AP) untuk kenderaan elektrik, dan peluasan kemudahan pengecasan supaya kenderaan berharga sederhana juga dapat membanjiri pasara. 

“Ini hanya beberapa contoh ringkas menggambarkan bahawa kalau pihak lain hendak menyifatkan ini sebagai Bajet pilihanraya (pihak lain, bukan saya), mungkin sebab mereka khuatir rakyat mampu menilai beza langkah dan tema Bajet ini berbanding beberapa tahun sebelumnya,” katanya. 

Sementara itu, Shahril berkata Bajet 2023 bukan semata-mata subsidi dan bantuan tunai dalam lingkungan RM55 bilion berbanding hampir RM25 bilion seperti tahun 2019 dan 2020. 

Ujarnya, Bajet 2023 menggambarkan kompetensi dalam mengurus situasi dan kemampuan membina negara bukan hanya untuk jangka masa pendek. 

“Tidak minta rakyat ikat perut bantu kerajaan seperti Perdana Menteri 2019. Tidak minta rakyat berkorban seperti Menteri Kewangan 2019. Tidak juga menjanjikan bulan, bintang dan kereta terbang. 

“Tetapi bajet yang bervisi sambil berpijak di bumi nyata, demi kemaslahatan Keluarga Malaysia. Itu bezanya,” katanya. – Malaysiapost

Komen