Bajet 2023: Dana RM50 juta terbit filem kenegaraan

Bajet 2023: Dana RM50 juta terbit filem kenegaraan

KERAJAAN memperuntukkan RM177 juta bagi meningkatkan pembangunan sektor industri kreatif melalui Bajet 2023.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sebanyak RM50 juta diperuntukkan sebagai Dana Penerbitan Filem Kenegaraan (DEKAN) bagi memacu industri kreatif tempatan.

Katanya, kerajaan turut memperuntukkan RM102 juta bagi tujuan memasarkan produk penggiat seni sekali gus menggalakkan penghasilan lebih banyak karya kreatif dan malar segar.

Menurutnya, inisiatif itu bagi membantu dalam penerbitan filem berunsur patriotrik yang terbukti berjaya menambat hati penonton di pawagam.

“Bermula dengan karya seni Sarjan Hassan dan Leftenan Adnan yang digarap hebat, hinggalah ke filem Ola Bola dan Mat Kilau, semuanya memberi impak dalam mencambahkan benih cinta rakyat kepada negara,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Bagi menyokong penggiat industri mencipta kandungan kreatif berkualiti tinggi, Tengku Zafrul berkata, kerajaan turut menyumbang kepada Tabung Komuniti Filem dan Pembangunan Filem Kenegaraan di bawah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) akan diberi potongan cukai.

Katanya, kerajaan juga bersetuju mengecualikan duti import dan cukai jualan ke atas peralatan studio dan produksi penggambaran.

Manakala sebanyak RM25 juta diperuntukkan untuk mempergiatkan Program Merakyatkan Seni, Budaya dan Warisan. -Malaysiapost

Komen