Bajet 2023: Satu lagi berita baik bagi pelajar, ibu bapa – Radzi 

Bajet 2023: Satu lagi berita baik bagi pelajar, ibu bapa – Radzi 

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) sentiasa berusaha yang terbaik bagi memastikan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) membantu pelajar tanpa mengira pendapatan ibu bapa mereka. 

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, pengumumkan BAP dengan peningkatan daripada RM100 kepada RM150 adalah satu lagi berita baik bagi pelajar dan ibu bapa. 

“Dalam Bajet 2023, penambahbaikan terus dibuat kepada BAP. Sebelum ini, ibu bapa yang berpendapatan RM3,000 ke bawah sahaja yang layak menerima BAP untuk anak yang bersekolah. 

“Bagi tahun 2023, semua murid akan menerima BAP tanpa mengira pendapatan ibu bapa mereka! 

“Bantuan ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 5 juta murid dan melibatkan peruntukan RM825 juta berbanding RM450 juta pada tahun 2022,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini. 

Sementara itu, Dr Radzi berkata KPM akan terus berikhtiar untuk menambah baik infrastruktur pendidikan negara ini. 

Ujarnya, bagi tahun 2023, sejumlah RM1.1 bilion peruntukan disediakan untuk penyelenggaraan dan membaikpulih sekolah-sekolah dibawah KPM. 

“Peruntukan ini meningkat RM250 juta berbanding RM850 juta tahun 2022. Dengan ini, KPM akan dapat menyediakan persekitaran sekolah yang kondusif untuk seluruh warga sekolah,” katanya. – Malaysiapost

Komen