Bersatu gesa beri keutamaan persiapan hadapi monsun

Bersatu gesa beri keutamaan persiapan hadapi monsun

BERSATU menggesa kerajaan memberi tumpuan dan keutamaan sepenuhnya terhadap persediaan bagi menghadapi Monsun Timur Laut, yang dijangka bermula bulan depan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pendirian itu antara perkara yang diputuskan pada mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu malam tadi.

Beliau berkata, pihaknya juga memutuskan untuk mengatur gerak aset dan sukarelawan misi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh negara.

“Ia digerakkan menerusi Skuad Prihatin Bersatu yang diketuai Ahli MPT, Mohd Rafiq Mohd Abdullah.

“Skuad Prihatin Bersatu ini akan turut dilancarkan pada Majlis Pelancaran Perikatan Nasional Pahang di Temerloh pada 10 Oktober nanti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hamzah berkata, kekuatan skuad ini akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan kebajikan mangsa-mangsa banjir terbela sebelum, semasa dan selepas banjir.

Beliau berkata, mesyuarat yang dipengerusikan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga membincangkan persiapan jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). – Malaysiapost

Komen