Cuepacs sambut baik inisiatif penjawat awam dalam Bajet 2023 – Adnan

Cuepacs sambut baik inisiatif penjawat awam dalam Bajet 2023 – Adnan

KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), menyambut baik inisiatif membabitkan penjawat awam yang diumumkan kerajaan melalui pembentangan Bajet 2023 hari ini .

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, antara perkara baru yang diumumkan ialah kebenaran penebusan awal gantian cuti rehat (GCR) sehingga 50 peratus atau maksimum 90 hari berbanding 80 hari sebelum ini.

Katanya, selain itu pengumuman baharu dalam pembentangan Bajet 2021 adalah pembayaran bantuan khas kewangan Aidilfitri sebanyak RM600 yang akan dibayar pada Mac tahun depan.

“CUEPACS berharap kerajaan dapat menyalurkan segala inisiatif yang diumumkan melalui MAPPA (Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam).

“CUEPACS berharap kerajaan dapat menyalurkan Bajet 2023 mengikut tempoh masa yang ditetapkan tanpa sebarang kelewatan serta proses birokrasi.

“CUEPACS tidak mahu inisiaitif yang diumumkan ini lewat, tidak dilaksanakan atau ditetapkan mengikut jumlah peruntukan tertentu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adnan berkata, CUEPACS yakin dan memberi jaminan seluruh penjawat awam akan meletakkan keutamaan bagi menjayakan Bajet 2023.

Ujarnya, komitmen daripada seluruh warga penjawat awam dituntut bagi memastikan segala aspirasi kerajaan melalui Bajet 2023 dapat direalisasikan agar rakyat mendapat manfaat.

“Dalam hal ini, penjawat awam mempunyai tugas paling berat dalam memastikan dasar dan rangka tindakan belanjawan berjaya dilaksanakan

“Sokongan daripada seluruh rakyat juga perlu untuk bersama dengan warga perkhidmatan awam, menggembleng tenaga dan berganding bahu bagi membawa negara kembali gemilang,” ujarnya.

Terdahulu, Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz mengumumkan beberapa inisiatif kepada penjawat awam termasuk Kenaikan Gaji Tambahan Khas sebanyak RM100 kepada kakitangan gred 11 hingga 56.

Selain itu, beliau berkata Perdana Menteri memutuskan supaya Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri dinaikkan kepada RM600 dan dibayar pada Mac tahun depan. – Malaysiapost

Komen