Gendang PRU-15 mula dipalu

Gendang PRU-15 mula dipalu

UMNO dilihat mula memalu gendang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) apabila mengarahkan semua 191 bahagian membabitkan Wanita, Pemuda dan Puteri melancarkan jentera masing-masing.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata langkah melancarkan jentera PRU-15 di setiap peringkat bahagian itu perlu dilakukan kerana pilihan raya semakin hampir.

Beliau berkata, PRU-15 semakin hampir dan bukannya semakin jauh.

“Ketika persidangan berlangsung hari ini, esok dan lusa dalam ucapan perasmian, ketua bahagian atau ketua sayap bolehlah melancarkan jentera PRU-15 Wanita, Pemuda dan Puteri bahagian secara rasmi.

“Jentera PRU15 setiap bahagian perlu dilancarkan secara rasmi kerana lambat laun pilihan raya akan berlaku,” katanya pada Mesyuarat Perwakilan Puteri Umno Bahagian Pontian, di Rumah Umno Pontian, lapor Berita Harian.

Pada 4 Ogos lalu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dilaporkan menetapkan Persidangan Umno Cawangan pada 15 Ogos hingga 18 September 2022, manakala Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian pula pada 7, 8 dan 9 Oktober. – Malaysiapost

Komen