Halim jawab Nizar, Renong tidak perlu pelan penyelamat kerajaan

Halim jawab Nizar, Renong tidak perlu pelan penyelamat kerajaan

TOKOH korporat, Tan Sri Halim Saad mendakwa kumpulan Renong tidak memerlukan sebarang pelan penyelamat daripada kerajaan ketika di bawah kawalannya.

Beliau menjawab dakwaan Tan Sri Nazir Razak dalam buku memoir berjudul “What’s in a name” tulisan adik bekas perdana menteri itu.

Halim merujuk kepada kenyataan Nazir bahawa beliau mahu membeli saham Renong milik Time Engineering, namun tidak mempunyai keupayaan kewangan ketika itu.

“…Tindakan saya untuk tidak meneruskan opsyen jualan/GO itu sering disalahtafsirkan sebagai pakej penyelamat daripada kerajaan.

“Saya ingin menielaskan bahawa pada sepanjang masa, Kumpulan Renong (yang di bawah kawalan saya) sama sekali tidak memerlukan sebarang pakej penyelamat daripada kerajaan.

“Lebuhraya Utara-Selatan (berserta rangkaian optik gentiannya) yang menjadi salah satu daripada aset bernilai UEM telah dibina, Alhamdulillah, dengan usaha saya dan disiapkan mengikut piawaian tertinggi 15 bulan lebih awal sebelum tamat tempoh kontrak selama tujuh tahun.

“Kejayaan ini dicapai dengan usaha, keringat, perancangan dan pengorbanan selama bertahun-tahun walaupun pelbagai cabaran dihadapi,” katanya dalam surat terbuka kepada Nazir.

Tambah Halim, kejengkelan lebih terasa apabila setelah dihalang untuk memperoleh manfaat yang sudah dipersetujui pada peringkat penjualan.

Serta komen sewenang-wenangnya dibuat oleh mereka yang mengetahui bahawa tidak sepatutnya berbuat demikian.

Dalam Halim turut menepis tafsiran Nazir bahawa bahawa kejatuhan Renong tidak dapat dielakkan dan kerajaan terpaksa menyelamatkan Renong daripadanya menerusi pengambilalihan oleh Khazanah.

“Gambaran itu juga tidak benar. Seperti yang dinyatakan berkali-kali pada masa lepas, hutang Kumpulan Renong tidak menimbulkan risiko kepada pasaran dan sistem perbankan.

“Sekiranya Tan Sri menyemak rekod, bon yang diterbitkan oleh PLUS/UEM/Renong pada 1999 bertaraf A dan dijamin secukupnya oleh aset dalaman kumpulan dan aliran tunai PLUS (Projek Lebuhraya Utara-Selatan Berhad). Di sini saya memetik kenyataan Rating Agency of Malaysia tentang bon tersebut.

“RAM memberikan penarafan berstruktur A° kepada cadangan Bon PLUS amaun nominal RM16 bilion dan Bon Boleh Tukar Boleh Tebus (RCB) amaun nominal RM2.193 bilion”

“Penarafan A’ yang merupakan penarafan gred pelaburan kukuh itu mencerminkan daya tahan keupayaan PLUS untuk menjana aliran tunai,” katanya.- Malaysiapost

Komen