Harga telur tidak dinaik atau diapungkan – Annuar Musa

Harga telur tidak dinaik atau diapungkan – Annuar Musa

KABINET bersetuju supaya harga kawalan telur gred A,B dan C tidak dinaikkan atau diapungkan demi menjaga keperluan rakyat.

Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi Tan Sri Annuar Musa, berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat mingguan Kabinet hari ini.

Menurutnya, walau bagaimanapun Kabinet mengambil kira kos pengeluaran yang meningkat dan harga kawalan menyebabkan pengeluar kerugian dan terpaksa mengurangkan pengeluaran yang seterusnya menyebabkan bekalan berkurangan.

“Bagi mengatasi masalah tersebut Kabinet bersetuju menerima syor Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI); Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP); dan Jawatankuasa Jihad Inflasi supaya subsidi sebanyak 3 sen pada masa ini dinaikkan kepada 8 sen.

“Ini melibatkan tanggungan subsidi oleh kerajaan lebih dari RM90 juta sebulan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, Kabinet juga bersetuju supaya dasar subsidi ayam bulat yang sedia ada diteruskan.

Menurutnya bagi meningkatkan bekalan minyak masak bersubsidi 1 kilogram (kg), terutama bagi rangkaian Kedai Jualan Murah Keluarga Malaysia, Kabinet bersetuju kuota tambahan sementara sebanyak 5000 metrik tan sebulan diluluskan kepada KPDNHEP.

Sementara itu Annuar berkata banyak perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet yang tamat jam 12.20 tengah hari tadi.

“Insya-Allah bertemu di Parlimen jam 4 petang bagi sesi pembentangan Belanjawan 2023 oleh Menteri Kewangan,” katanya. – Malaysiapost

Komen