Kalau orang kata dia lanun bola sepak apa dia rasa?, soal Sanusi

Kalau orang kata dia lanun bola sepak apa dia rasa?, soal Sanusi

DATUK Seri Muhammad Sanusi Md Nor tampil menafikan beliau berniat menjadi pemecah kepada sukan bola sepak di negara ini.

Sebaliknya, Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) itu menegaskan, beliau telah berjaya menyatukan peminat sukan nombor satu di negara ini.

“Saya bukan pemecah, saya menyatukan peminat bola sepak dalam satu kesatuan bola sepak untuk orang ramai di padang yang sama luas, pemain sama ramai dan pintu gol sama saiz.

“Rasanya pemain tak sama ramai, jadi apabila pengadil masuk sebelah (pasukan) sana, jadi pemain (pasukan) dia lebih ramai. Saya mahu pemain sama ramai dan pengadil duduk di tengah mengadili,” katanya.

Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, tindakannya itu telah mencetuskan pelbagai gelaran diberikan kepadanya hanya kerana bertindak mempertahankan sukan bola sepak di negara ini.

Jelasnya, apa yang sebenarnya beliau mahukan adalah sukan bola sepak negara ini mempunyai sistem yang adil kepada setiap pasukan bertanding.

“Pemilik kelab JDT (Johor Darul Ta’zim) ini tak boleh orang kata pada dia, dia kata pada orang, apa pun tak apa. Kalau orang kata dia lanun bola sepak apa dia rasa?

“Kata saya badut, pemecah belah. Saya nak kata dia lanun bola sepak, dia nak jawab apa? Apa perasaan kamu kalau saya kata kamu lanun bola sepak,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Majlis Penutup Program Jelajah Kedah Sejahtera Daerah Kota Setar di Masjid Nurul Ihsan, Langgar, yang turut dihadiri EXCO Penerangan negeri, Datuk Wan Romani Wan Salim.

Semalam, pemilik pasukan JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, meminta pemilik Kedah Darul Aman (KDA) FC, Tan Sri Daud Bakar agar menasihati Muhammad Sanusi, melalui komen di media sosial peribadinya.

Dalam komen itu, Tunku Ismail turut menggesa Muhammad Sanusi agar dapat menjaga sikap dan menunjukkan keperibadiannya sebagai seorang Menteri Besar. -Malaysiapost

Komen