Kegagalan 5G satu sabotaj pada negara

Kegagalan 5G satu sabotaj pada negara

Aiman Hanif

Perkhidmatan telekomunikasi 5G merupakan salah satu keperluan demi pembangunan negara pada masa kini dan masa hadapan. Bertitik tolak daripada perkhidmatan telekomunikasi yang terbaik inilah yang akan membawa kepada kemajuan teknologi dalam pengurusan pentadbiran dan bidang sosio-ekonomi kerajaan dan rakyat.

Namun sayangnya, kesungguhan kerajaan melalui Digital Nasional Berhad (DNB) seakan tidak diambil perhatian serius oleh pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO). Tindakan MNO melengahkan perjanjian terhadap cadangan pembahagian ekuiti DNB dilihat sebagai satu tindakan sabotaj kepada pelaksanaan rangkaian dan infrastruktur 5G di negara ini.

Pertama, negara akan jauh ketinggalan berbanding negara jiran. Singapura dan Thailand misalnya sudah pun melancarkan perkhidmatan 5G di negara masing-masing, jauh telah mendahului Malaysia. Adakah kita hendak tunggu Indonesia dan Filipina melancarkan perkhidmatan 5G baru kita akan terkesan melaksanakannya?

Situasi negara jiran yang lebih terkehadapan dalam menyediakan infrastruktur teknologi 5G ini secara langsung akan memberi kesan kepada negara Malaysia. Dari perspektif ekonomi misalnya, pelabur asing dan pelancong luar akan lebih cenderung untuk melabur dan melancong ke negara yang mempunyai teknologi telekomunikasi yang jauh lebih baik. Penangguhan pelaksanaan kemudahan 5G boleh menyebabkan negara kehilangan peluang pelaburan dari luar negara yang ingin memanfaatkan kemudahan 5G.

Persaingan serantau ini tidak harus dibiarkan begitu sahaja. Hanya kerana sabotaj pihak tertentu, negara pula menerima padahnya. Oleh itu kerajaan perlu memastikan rancangan pembangunan 5G tidak terbantut bagi memastikan negara terus kompetitf berbanding negara jiran. Persaingan sihat dalam menyediakan akses perkhidmatan 5G ini perlu disahut baik oleh pemain industri dan pengendali syarikat telekomunikasi.

Kedua, kegagalan menyediakan perkhidmatan telekomunikasi 5G ini akan menjadikan Malaysia sebuah negara yang tidak bersedia mendepani cabaran ekonomi dan teknologi masa hadapan. Keupayaan untuk menyediakan perkhidmatan 5G sangat penting bagi menyokong pelbagai segmen ekonomi, terutamanya dalam bidang automasi, yang merupakan salah satu teknologi masa hadapan.

Jangan nanti negara lain sudah cekap mengendalikan bidang automasi sebagai segmen ekonomi baharu, negara kita baru hendak bertatih. Tanpa sedar, kelalaian kita untuk mempercepat pelaksanaan perkhidmatan 5G ini memakan diri sendiri. Sebab itulah pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO) perlu bekerjasama dengan kerajaan tanpa perlu sabotaj kepada pelaksanaan usaha murni ini.

Ketiga, dunia sudah semakin pantas. Kini, segala urusan rakyat memerlukan perkhidmatan teknologi maklumat yang lebih cekap. Daripada urusan perkongsian maklumat, bidang pendidikan sehingga ke urusan jual beli dalam talian segalanya memerlukan perkhidmatan telekomunikasi yang stabil dan lancar.

Pendidikan Abad ke-21 memerlukan para pendidik dan pelajar untuk beradaptasi dengan penggunaan teknologi terkini secara mapan. Bagaimana bidang pendidikan di negara kita boleh berkembang maju seandainya kemudahan teknologi telekomunikasi tidak dibangunkan dengan baik? Para pendidik dan pelajar memerlukan akses kepada bahan maklumat dalam talian dengan pantas. Malah strategi dan keadah pendidikan yang lebih interaktif juga boleh diterapkan sekiranya negara memiliki kemudahan teknologi 5G.

Bayangkan sekiranya kemudahan teknologi 5G ini gagal direalisasikan? Berapa banyak pelajar akan tercicir dek kerana jurang digital yang semakin melebar. Berapa banyak pula golongan pendidik yang akan terkesan kerana kegagalan merencana Pengajaran dan Pembelajaran (PnP) selaras hala tuju pendidikan alaf baharu kerajaan. Adakah masa depan pendidikan negara kita perlu digadaikan hanya kerana tindakan mensabotaj perkhidmatan 5G.

Pengalaman Pandemik COVID-19 telah menunjukkan kepada kita betapa mundurnya kemudahan internet dan capaian di kawasan luar bandar dan capaian internet di kawasan bandar juga tidak stabil. Meskipun telah mula berkembang di Malaysia sejak tahun 1983, kini negara kita sedang memasuki era baharu iaitu 5G tetapi dalam keadaan internet di negara kita masih menyedihkan. Disebabkan itulah capaian dan kelajuan internet di Malaysia sememangnya perlu diatasi dengan kadar segera oleh kerajaan.

Kita perlu terima hakikat bahawa hari ini, era data adalah senjata dan isu keselamatan siber pula disifatkan sesuatu yang tidak boleh ditoleransi. Demi keselamatan data dan keselamatan siber dalam negara, pembangunan teknologi 5G perlu disegerakan. Tindakan pengendali rangkaian mudah alih yang masih menangguhkan pelaksanaan pembangunan infrastrukur teknologi ini sejawarnya diambil tindakan oleh pihak kerajaan.

Syarikat telekomunikasi ini seharusnya mengetepikan campur tangan politik yang menjadi dalang disebalik keengganan menjalin kerjasama pembangunan teknologi 5G ini. Cukuplah kadar caj bayaran kemudahan internet di negara kita antara yang termahal di rantau ini, janganlah dikorbankan pula masa depan negara dan rakyat dengan tindakan sabotaj pembangunan infrastruktur teknologi 5G.

[ Penulis adalah wartawan Malaysiapost yang menelusuri pembangunan teknologi digital.
Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis tentang 5G ]

Komen