Lakonan Jemaah Menteri – Shahrir

Lakonan Jemaah Menteri – Shahrir

VETERAN Umno, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menyindir menteri daripada Perikatan Nasional (PN) yang semalamnya didakwa hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri, namun hari ini duduk semeja dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

Beliau berkata, aksi lakonan terbaik jemaah menteri akan diteruskan pada sesi pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

“Hari ni ‘hilang kepercayaan’, esok pagi (hari ini) duduk sekali mesyuarat Jemaah Menteri, tengah hari makan nasi sekali dan petang duduk sebaris dalam Dewan Rakyat dengar Bajet?

“Satu hari sarat dengan lakonan politik? Mungkin ‘berselfie’ dan ‘berwefie’ pula untuk menandakan detik bersejarah satu kerajaan yang ‘berjaya’ kekalkan jawatan sehingga Bajet yang kedua?” katanya.

Bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkongsi senario tersebut di Facebooknya, hari ini.

Semalam, seramai 12 menteri daripada Bersatu dan PAS mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung pendirian gabungan itu tidak mahu PRU15 diadakan tahun ini.

Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, yang mengesahkan perkara itu memaklumkan PN berpendirian kebajikan rakyat adalah perkara penting yang perlu diberikan tumpuan ketika ini.

Shahrir menjelaskan, kerajaan yang tertubuh hari adalah kerajaan yang mewarisi daripada kerajaan Pakatan Harapan.

“Sudahlah dapat mengekalkan Peguam Negara kerajaan yang terdahulu. Menteri Kewangan yang bentang Bajet pun yang sama.

“Kalau tidak diketahui apa ‘nasihat’ PM kepada YDPA, tidak boleh dianggapkan pendapat menteri-menteri PN itu bertentangan dengan ‘nasihat’ PM kepada PA.

“It is just another day, Budget Day!” – Malaysiapost

Komen