Menteri PN harus letak jawatan

Menteri PN harus letak jawatan

MENTERI Perikatan Nasional (PN) yang mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyatakan pendirian tidak bersetuju PRU-15 (PRU-15) diadakan tahun ini, seharusnya melepaskan jawatan mereka.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Mohd Razlan Rafii, mendakwa menteri berkenaan telah tergugur dengan sendirinya apabila sudah hilang kepercayaan terhadap kerajaan.

“Menteri ini telah hilang kepercayaan kepada Kabinet yang mereka merupakan anggotanya dan dengan alasan ini, seharusnya mereka ini melepaskan jawatan sebagai Anggota Kabinet.

“Mereka adalah antara yang mementingkan kedudukan. Ini bukan pertama kali melanggar disiplin, sebelum ini mereka meletakkan negara kepada keadaan darurat hanya kerana mahu mengekalkan kuasa,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Justeru, Mohd Razlan berkata, tidak ada guna lagi wujud kabinet ini walau sehari kerana mereka telah tidak sehaluan dalam mentadbir negara.

Katanya, menteri berkenaan kini sudah melanggar sumpah simpan rahsia sebagai anggota Kabinet, yang mana tindakan konsensus kepada setiap keputusan Kabinet tidak dijadikan disiplin oleh menteri PN ini.

“Ampun Tuanku, tiada lagi kestabilan yang Tuanku titahkan kepada PN,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, menegaskan pendirian gabungan yang tidak menyokong pembubaran Parlimen tahun ini, tidak boleh ditafsirkan sebagai gabungan itu hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, isu sokongan kepada Perdana Menteri adalah perkara berbeza berbanding pendirian PN berhubung pembubaran Parlimen dan PRU-15. – Malaysiapost

Komen