Pahang sasar 4.52 peratus peningkatan kutipan hasil tahun depan 

Pahang sasar 4.52 peratus peningkatan kutipan hasil tahun depan 

Ben Ibrahim 

SELEPAS merekodkan kutipan hasil lebih RM1 bilion tahun ini, kerajaan Pahang meletakkan sasaran peningkatan 4.52 peratus kutipan hasil untuk tahun hadapan. 

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sasaran unjuran peningkatan perolehan hasil kerajaan negeri itu adalah tertinggi dalam sejarah Pahang. 

“Tahun lalu ketika pembentangan Belanjawan Pahang 2022, kita letak sasaran RM1.03 bilion dan ia sudah dicapai. 

“Jadi untuk tahun depan, kita sasarkan peningkatan 4.52 peratus lagi kepada RM1.08 bilion. 

“Daripada jumlah itu, RM1.07 adalah bagi perbelanjaan mengurus, manakala RM318 juta lagi untuk pembangunan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2023 sempena sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, di Kuantan, hari ini. 

Wan Rosdy berkata, perbelanjaan mengurus membabitkan pemberian emolumen, bayaran tetap, perbelanjaan lain dan aset. 

Katanya, perbelanjaan pembangunan pula merangkumi projek infrastruktur termasuk projek bekalan air yang turut membabitkan pinjaman daripada kerajaan Persekutuan. 

“Terdapat lima strategi utama akan dilaksanakan antaranya merangsang kemajuan ekonomi, memperkukuh tadbir urus, membangunkan infrastruktur mampan, menjamin kesejahteraan rakyat dan membina generasi masa depan yang gemilang. 

“Semua strategi ini adalah bagi memastikan sasaran pencapaian kerajaan negeri untuk tahun depan boleh dicapai,” katanya. 

Terdahulu ketika memulakan pembentangan, Wan Rosdy memberitahu kerajaan Pahang berjaya mencapai sasaran kutipan hasil RM1.037 billion. 

Beliau menyifatkan pencapaian itu sangat membanggakan dan meletakkan Pahang sebaris dengan negeri Johor dan Selangor. 

“Sehingga 30 September lalu, Pahang sudah mengumpulkan pelaburan berjumlah RM20.56 bilion dan ini petunjuk jelas keyakinan pelabur terhadap potensi serta kestabilan yang ada di negeri ini,” katanya. – Malaysiapost

Komen