Pembelian Renong, UEM tidak pernah dibiayai Umno, kata Halim Saad

Pembelian Renong, UEM tidak pernah dibiayai Umno, kata Halim Saad

TOKOH korporat Tan Sri Halim Saad mendakwa Renong Berhad dan UEM Berhad bukanlah milik Umno, sebaliknya pembelian aset berkenaan dibuat dengan sumber kewangannya sendiri termasuk pinjaman.

Bagaimanapun katanya, aset yang telah berjaya diambil alih Umno itu, kini tidak lagi dikuasai oleh parti dominan orang Melayu itu.

Katanya dakwaan bahawa aset berkenaan bukan miliknya pernah dibuat bekas Bendahari Umno pada waktu itu, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dalam akuan bersumpah pada tahun 2012.

Untuk rekod Umno ketika itu di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Bagaimanapun, kenyataan itu tidak benar. Di sini saya ingin menjelaskan bahawa semua aset saya diperoleh dengan menggunakan dana dan pinjaman saya sendiri dan pembelian aset tersebut tidak pernah dibiayai oleh Umno.

“Pada 1989 dan 1990 saya membeli saham UEM daripada Pemegang Serah Hak Rasmi yang mentadbirkan aset Umno (lama) selepas Umno disytiharkan haram pada 1998.

“Saham itu dibeli dengan harga RM178 juta dengan sumber saya sendiri. Saya juga membeli Kumpulan Fleet dengan harga RM50 juta. Perkara ini disahkan dalam buku berjudul “Daim Zainuddin Malaysia’s Revolutionary and Troubleshooter” tulisan Michael Backman.

“Tun Daim Zainuddin kemudian turut mengesahkan bahawa semua aset tidak lagi menjadi milik Umno,” katanya dalam surat terbuka kepada Tan Sri Nazir Razak.

Surat terbuka itu sebagai menjawab dakwaan adik kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam buku memoir berjudul “What’s in a name”.

“Daim mengesahkan bahawa selepas penjualan pada 1990, tidak ada lagi sebarang hubungan komersial antara Umno dengan Renong/UEM. Kata beliau, khabar angin berterusan yang mendakwa sebaliknya sentiasa menjadi belenggu kepada Halim,” kata surat itu lagi.

Hal itu kata Halim, turut disahkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu Timbalan Presiden Umno semasa sidang Parlimen pada 24 November 1997 apabila beliau menyatakan “UEM-Renong tidak ada hubung kait dengan Umno”.

Sementara itu, Halim mendakwa buku memoir Nazir mengandungi kesilapan besar dan memberi gambaran yang salah.

“Walaupun berbesar hati kerana disebut sebagai tokoh korporat Malaysia pada zaman itu, saya ingin menyuarakan rasa amat kesal dengan beberapa bahagian buku yang mengandungi kesilapan besar dan memberikan gambaran salah.

“Saya ingin memetik peribahasa yang bermaksud: ‘Orang yang pertama sekali bercakap selalunya nampak betul sehingga datangnya orang lain dan bertanyakan soalan yang betul’,” katanya.- Malaysiapost

Komen