PM tak mahu bubar Parlimen tapi diasak Umno

PM tak mahu bubar Parlimen tapi diasak Umno

KETUA Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak mahu bubar Parlimen, tetapi diasak kepimpinan Umno.

Beliau mendakwa, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno diasak oleh kegilaan Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mendesak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dibuat pada musim banjir.

“Kami tahu hakikatnya Perdana Menteri sendiri tidak mahu bubar parlimen tapi beliau diasak bertubi-tubi oleh orang-orang gila dalam Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk paksa Yang di-Pertuan Agong, kakitangan kerajaan dan rakyat ke PRU-15,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Menurutnya, ia berbeza dengan pendirian daripada parti dan Ahli Jemaah Menteri Bersatu serta Perikatan Nasional (PN) dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, semalam yang mendahului kepentingan rakyat.

“Isyarat jelas daripada parti dan Ahli Jemaah Menteri Bersatu dan PN adalah kami mendahului kepentingan rakyat untuk hentikan kegilaan Presiden Umno-BN mendesak Pilihan Raya Umum di buat di musim banjir.

“Apa-apa pun Bersatu tetap bersedia demi membantu rakyat,” katanya.

Sebelum ini, 12 anggota Kabinet daripada PN dilaporkan mengutuskan surat kepada Yang di-Pertuan Agong membantah gesaan pemimpin Umno yang mahu Parlimen dibubarkan dan PRU-15 dilakukan tahun ini. – Malaysiapost

Komen