Rasuah: Rayuan Isa Samad didengar Mac tahun depan

Rasuah: Rayuan Isa Samad didengar Mac tahun depan

MAHKAMAH Rayuan menetapkan 7 Mac tahun depan bagi mendengar rayuan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad untuk membatalkan sabitan bersalah dan hukuman terhadapnya, dalam kes rasuah berkaitan pembelian sebuah hotel di Sarawak.

Pejabat Pendaftaran Mahkamah Rayuan menetapkan tarikh tersebut ketika pengurusan kes secara dalam talian hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz ketika dihubungi mengesahkan tarikh yang ditetapkan itu.

“Pengurusan kes seterusnya sebelum pendengaran adalah pada 21 Februari 2023. Pihak terlibat (diarahkan Mahkamah Rayuan) untuk memfailkan hujah bertulis paling lewat pada 14 Februari 2023,” lapor MalaysiaKini.

Pada 3 Februari lalu, Isa yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan didapati bersalah dalam sembilan pertuduhan rasuah melibatkan pembelian Hotel Merdeka Palace & Suites berharga RM160 juta oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB).

Dia dijatuhkan hukuman penjara selama enam tahun dan denda RM15.45 juta. Jika dia gagal membayar denda itu, dia perlu menjalani tambahan hukuman penjara 18 tahun.

Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali ketika itu berkata, walaupun Isa telah memberikan sumbangan kepada negara, perlu ditekankan bahawa rasuah adalah perkara serius kerana ia mengancam pertumbuhan ekonomi serta kedaulatan undang-undang negara, selain menafikan rakyat daripada menerima perkhidmatan yang cekap.

Namun, Mohd Nazlan membenarkan permohonan pembelaan agar hukuman ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Isa diarahkan membayar ikat jamin RM1.5 juta dan melapor diri di balai polis terdekat pada hari pertama setiap bulan sepanjang proses rayuan berjalan.

Dia didakwa dengan sembilan pertuduhan menerima rasuah untuk dirinya sendiri. Dia didakwa menerima wang bernilai RM3.09 juta daripada anggota Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd Ikhwan Zaidel, melalui Muhammad Zahid Md Arip.

Habuan berkenaan diberi sebagai imbuhan atas bantuannya meluluskan Hotel Merdeka Palace & Suites berharga RM160 juta. – Malaysiapost

Komen