Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan dianjurkan secara fizikal tahun ini

Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan dianjurkan secara fizikal tahun ini

SAMBUTAN Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan diadakan semula tahun ini dengan membabitkan perhimpunan secara fizikal sebagaimana tahun-tahun sebelumnya.

Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menganjurkannya di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Ahad ini bermula jam 9.30 pagi.

Ketua Pengarah Jakim Datuk Hakimah Mohd Yusoff, berkata penganjuran itu selepas mengambil kira negara Malaysia kini telah memasuki fasa endemik.

“Jawatankuasa Induk Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan yang dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Haji Ahmad, telah bersetuju dan membuat ketetapan agar majlis tersebut diteruskan semula sebagaimana tahun-tahun sebelumnya yang melibatkan perhimpunan secara fizikal.

“Walau bagaimanapun, acara perarakan, yang menjadi acara lazim sambutan pada setiap tahun, tidak diadakan pada tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah telah berkenan untuk berangkat hadir ke majlis tersebut.

Menurutnya, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan isteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin turut sama akan hadir bagi memeriahkan acara sambutan.

“Tema sambutan pada tahun ini ialah β€œπ‘²π’†π’π’–π’‚π’“π’ˆπ’‚ π‘΄π’‚π’π’‚π’šπ’”π’Šπ’‚ π‘·π’†π’Žπ’‚π’π’ˆπ’Œπ’Šπ’ π‘²π’†π’Žπ’‚π’Œπ’Žπ’–π’“π’‚π’β€. Tema ini sangat relevan dan bertepatan dengan aspirasi Keluarga Malaysia yang digagaskan oleh Perdana Menteri dan pendekatan Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera yang diperkenalkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

“Kedua-dua pendekatan tersebut menjadi simbol kebersamaan yang inklusif dalam menghadapi sebarang cabaran bagi mencapai kehidupan yang lebih harmoni dan sejahtera yang menjurus kepada pemeliharaan kemaslahatan ummah melalui lima prinsip utama iaitu penjagaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta,” katanya.

Menurutnya, turut diadakan penyampaian Anugerah Perdana dan Anugerah Maulidur Rasul SAW kepada seorang penerima Anugerah Perdana dan enam penerima Anugerah Maulidur Rasul SAW.

“Penganjuran kali ini dapat menyaksikan inovasi atau suntikan elemen teknologi iaitu persembahan seni media pemetaan cahaya pada latar pentas, yang akan memaparkan tayangan grafik yang berinteraksi dengan fasad latar pentas.

“Ini adalah merupakan antara tarikan dan kelainan yang bakal dibawa melalui acara sambutan pada kali ini,” katanya. – Malaysiapost

Komen