ADUN pembangkang Pahang sedia lawan jika PRU15 diadakan sekarang 

ADUN pembangkang Pahang sedia lawan jika PRU15 diadakan sekarang 

Ben Ibrahim 

SEMUA Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di Pahang sedia dicalonkan jika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini. 

Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) Pahang, Young Syefura Othman, berkata bidang kuasa membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang berada di tangan kerajaan negeri diperintah Barisan Nasional (BN). 

“Kita sebagai ADUN atau ahli Parlimen terpaksa berdepan PRU15 kerana di Pahang, kita adalah pembangkang. 

“Lagi pun kita tak boleh buat apa kerana PH bukan kerajaan di Pahang, kalau kita kerajaan, kita takkan bubar DUN,” katanya ditemui pada program Jelajah PH Pahang di Kampung Razali, dekat Kuantan, pagi tadi. 

Young Syefura turut berkata, tindakan beberapa negeri yang tidak mahu membubarkan DUN serentak dengan Parlimen bagi pelaksanaan PRU15 adalah demi keselamatan dan kebajikan rakyat.

“Kita tidak mahu PRU15 diadakan ketika banjir, tapi masih berlaku (PRU15), kita sebagai ADUN pembangkang mahu tidak mahu terpaksa akur terutamanya negeri ditadbir BN,” katanya lagi. 

Mengulas mengenai program Jelajah PH Pahang, Young Syefura berkata, program itu adalah bagi mendekati rakyat di setiap pelusuk di negeri ini.

Katanya, ia juga sebagai persediaan untuk menghadapi pilihan raya umum yang diadakan pada bila-bila masa. – Malaysiapost

Komen