Annuar puji PAS tak putus asa usaha penyatuan ummah

Annuar puji PAS tak putus asa usaha penyatuan ummah

TAN Sri Annuar Musa memuji tindakan PAS yang tidak berputus asa meneruskan usaha penyatuan ummah melibatkan ‘komitmen’ ketiga-tiga parti teras-Melayu iaitu PAS, Umno dan Bersatu bagi menghadapi PRU15.

Ketua Umno Bahagian Ketereh itu berkata, pendirian PAS itu menepati maksud dan panduan syariah dalam mencari kebaikan. 

“Tindakan PAS terus mengekalkan hasrat mencari kesepakatan patut dipuji.

“Ia menepati maksud dan panduan syariah dalam mencari kebaikan dan menolak kemudaratan yg lebih besar,” katanya di Facebook, hari ini. 

Annuar juga menjelaskan, kenyataan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini membuktikan jauh di sudut hati Umno masih lagi menyimpan hasrat umat Islam bersatu. 

“Ia terus membuka pintu perundingan dan perbincangan. Begitu juga Umno. Presiden telah membuka kunci permuafakatan, kerana hati kecilnya dan para pemimpin mahukan umat yang bersatu.

“Kita sememangnya diperintahkan Allah agar berpegang teguh pada tali Allah dan tidak bercerai berai. Teruskanlah usaha,kerana dimana ada daya,di situ ada jaya,” katanya. 

Awal minggu ini, Ahmad Zahid memberikan syarat kepada PAS agar meninggalkan Perikatan Nasional (PN) sekiranya mahu bekerjasama dengan Umno pada PRU15.

Katanya, syarat itu telah disampaikan beliau dalam pertemuan dengan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, baru-baru ini.

Katanya, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno membuat keputusan mengabsahkan jika PAS mahu bekerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) pada PRU15 sekiranya memenuhi syarat ditetapkan.

“Tanpa memenuhi syarat-syarat itu, kita (BN) akan bergerak solo. Bukan kerana terlalu yakin, tetapi kita kena bergerak ikut kaedah sendiri untuk hadapi peperangan dalam PRU,” katanya. -Malaysiapost

Komen