Isu mohon pekerja asing: KSM larang campur tangan pihak ketiga

Isu mohon pekerja asing: KSM larang campur tangan pihak ketiga

KEMENTERIAN Sumber Manusia (KSM) melarang campur tangan pihak ketiga untuk menyelesaikan masalah berkaitan permohonan pekerja warga asing yang dihadapi majikan.

KSM dalam kenyataan, berkata sebarang campur tangan hanya akan merumitkan proses permohonan, selain terdedah kepada salah laku rasuah atau kebocoran maklumat berkaitan sehingga menyebabkan kelewatan dalam proses terbabit.

Sehubungan itu, katanya, majikan dinasihatkan supaya terus berhubung dengan KSM bagi sebarang permasalahan dihadapi dalam memohon pekerja asing.

“KSM cakna dan memahami akan permasalahan di lapangan, serta berupaya menguruskan isu dihadapi majikan berkaitan permohonan pekerja asing ini.

“Kementerian juga sentiasa terbuka kepada sebarang input diberikan mana-mana pihak dalam usaha menambah baik dan memudahkan proses permohonan pekerja asing,” katanya hari ini.

Menurut kenyataan itu, majikan yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Bahagian Pengurusan Pekerja Migran KSM (oscksm@mohr.gov.my) melalui talian 03-88852939/2940 atau Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (jtksm@mohr.gov.my). – Malaysiapost

Komen