Paras sungai di 4 negeri masih selamat -Bomba

Paras sungai di 4 negeri masih selamat -Bomba

SUNGAI di empat negeri yang mencatatkan peningkatan susulan hujan lebat semalam kini dilaporkan berada pada paras selamat.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid, ia membabitkan sungai utama di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Katanya, sehingga jam 8 pagi tadi tiada mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), manakala dua PPS di Kluang, Johor sudah ditutup semalam.

“Anggota bomba melakukan pemantauan semalam dan paras air di sungai seperti yang dinyatakan itu sebenarnya berada pada tahap normal.

“JBPM juga sudah menghantar laporan kepada Task Force Banjir memaklumkan kenaikan air di sungai itu hanya bersifat sementara.

“Setakat ini, tidak berlaku banjir dan tiada penduduk yang dipindahkan ke PPS,” katanya.

Bagaimanapun, Hamdan berkata, pemantauan masih lagi diteruskan di sungai tersebut oleh pelbagai agensi termasuk polis.

“Kita juga akan melakukan pemantauan melalui udara di beberapa empangan yang kritikal sekiranya berlaku limpahan disebabkan hujan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan paras air di beberapa sungai utama di Negeri Sembilan, Melaka, Selangor dan Johor mencatatkan peningkatan selepas hujan lebat melanda sejak petang semalam. – Malaysiapost

Komen