PAS masih gagal pilih Umno atau Bersatu

PAS masih gagal pilih Umno atau Bersatu

PAS dilihat masih gagal untuk memilih haluan kerjasama parti itu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) apabila memutuskan untuk meneruskan usaha penyatuan ummah.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata pihaknya tetap akan meneruskan usaha penyatuan ummah melibatkan ‘komitmen’ ketiga-tiga parti teras-Melayu iaitu PAS, Umno dan Bersatu bagi menghadapi PRU15.

Katanya, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang diadakan hari ini, demi menjamin kestabilan politik negara pasca PRU15. 

“PAS berpandangan perlu ada ‘keanjalan’ dalam rundingan dengan pihak Umno dan Bersatu, termasuklah berkenaan syarat-syarat yang dikemukakan dan rundingan kerusi yang sedang diusahakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, PAS yang menerajui kerajaan Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak akan membangkitkan tentang pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam tempoh terdekat.

“Ia bagi menumpukan kepada persiapan menghadapi musim tengkujuh yang dijangka pada pertengahan November sehingga Mac 2023, di samping usaha dan langkah pemulihan ekonomi pasca Covid-19,” katanya

Pagi tadi, ibu pejabat PAS menjadi tumpuan apabila kepemimpinan parti itu mengadakan mesyuarat membincangkan hala tujunya, berhubung kata dua diberikan Umno dalam membina semula kerjasama menerusi Muafakat Nasional (MN) bagi mendepani PRU15.

Sebelum ini, kepemimpinan PAS menegaskan mereka mahu berusaha membawa Umno dan Bersatu untuk bersama dalam mendepani PRU15.

Ia demi memastikan tiada pertembungan di antara parti-parti itu dalam berdepan Pakatan Harapan (PH) dalam piluhan raya umum berkenaan. – Malaysiapost

Komen