PAS mungkin tidak bekerjasama dengan Umno pada PRU15 – Puad

PAS mungkin tidak bekerjasama dengan Umno pada PRU15 – Puad

UMNO membayangkan PAS tidak akan bekerjasama dengan mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berdasarkan kenyataan dan tindakan yang dibuat parti itu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata isyarat jelas ditunjukkan PAS termasuk menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong selain kenyataan berbeza-beza dalam kalangan pemimpin mereka.

“Umno secara terbuka setuju tetapi dengan tiga syarat iaitu PAS mesti keluar dari Perikatan Nasional (PN), PAS mesti tinggalkan Bersatu dan mesti umum secara terbuka mereka setuju dengan syarat Umno.

“Tetapi apa yang berlaku, selain kenyataan berbeza di kalangan pemimpin PAS, 12 Menteri PAS termasuk Bersatu hantar memorandum kepada Agong mohon PRU15 tidak diadakan tahun ini.

“Tindakan PAS memberi signal tidak jadi bekerjasama dengan Umno. PAS berat tinggalkan Bersatu. Tanpa Bersatu PAS bimbang Umno akan jadi lebih dominan,” katanya dalam kenyatan di Facebook hari ini.

Menurut Mohd Puad, sekiranya PAS mahu berhujah muafakat ummah ia mesti dibuat secara menyeluruh.

“Kenapa PAS tidak mahu Amanah menyertai Muafakat Nasional (MN)? Apakah itu bukan main politik,” katanya.

Mohd Puad menegaskan, Umno meletakkan syarat kerana tidak mahu ditipu kali kedua.

“Umno tidak main wayang. Pada Umno, Bersatu adalah rival yang mahu menjahanamkan Umno sejak ia bayi.

“Umno parti politik, Bersatu juga parti politik. Siapa kata PAS bukan parti politik? Tetapi Umno lebih bijaksana mengurus perbezaan pendapat pemimpinnya berbanding PAS. Semua orang jadi pening.,” katanya.

Mohd Puad juga sekali lagi menegaskan bahawa Umno tidak akan masuk lubang biawak kali kedua.

Hari ini, PAS akan bermesyuarat bersama kepimpinan tertinggi parti bagi menentukan kerjasama Umno dengan parti itu pada PRU15. – Malaysiapost

Komen