Sikap berkecuali Malaysia sangat mendukacitakan – PAS

Sikap berkecuali Malaysia sangat mendukacitakan – PAS

PENDIRIAN Malaysia yang mengambil tindakan berkecuali berhubung tindakan Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHRC) menolak usul untuk membahaskan pencabulan hak asasi manusia oleh China terhadap umat Islam Uyghur di Xinjiang adalah sangat mendukacitakan. 

Ahli Jawatakuasa Lujnah Antarabangsa PAS, Ahmad Tarmizi Sulaiman, berkata, parti itu kesal dengan tindakan berkecuali tersebut malah bercanggah dengan pendirian Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Hal ini menambahkan lagi kekecewaan disebabkan oleh pendirian Malaysia sendiri bersama 11 negara lain mengambil pendirian berkecuali, manakala 19 negara menolak dan 17 negara menyokong dalam undian yang melibatkan 47 negara anggota.

“Pendirian Malaysia ini sangat mendukacitakan, bahkan bercanggah dengan kenyataan rasmi oleh perdana menteri Ismail melalui ucapannya di Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-77 di New York, Amerika Syarikat yang jelas melaungkan seruan memperjuangkan keamanan dan keadilan sejagat yang turut melibatkan konflik antarabangsa.

“Saya melihat keputusan yang diambil oleh Malaysia ini tidak mencerminkan kesepaduan dalam membanteras kezaliman, termasuklah ‘menutup sebelah mata’ dengan tidak mengendahkan penderitaan dan kesengsaraan umat Islam Uyghur yang diseksa dan ditindas mengikut hawa nafsu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Tarmizi menegaskan, adalah amat mengecewakan apabila UNCHR menolak untuk membahaskan isu berkenaan ketika mereka melaungkan soal keamanan dan kemanusiaan.

Beliau turut membidas kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Raja Bahrin Shah yang menyelar PAS dalam isu berkenaan.

“Isu penderitaan Uyghur ini turut pernah ditekankan oleh Presiden PAS ketika ditemubual dalam program Bicara Minda Bersama Presiden PAS anjuran Sinar Harian pada Dis 2018 yang menyatakan masyarakat Muslim China Uyghur telah ditekan dan ditindas sejak tahun 1920-an lagi di bawah pemerintahan Komunis. 

“Malaysia tidak harus membisu dalam apa-apa jua isu berkaitan pembantaian etnik minoriti tetapi sepatutnya lantang dalam mempertahankan keamanan dan keadilan dunia,” katanya.

Jelasnya, PAS sentiasa bersuara memperjuangkan nasib umat Islam minoriti itu termasuk di pentas forum antarabangsa. -Malaysiapost

Komen