Tutup pejabat UNHCR jika Malaysia dapat keluar kad sendiri untuk pelarian

Tutup pejabat UNHCR jika Malaysia dapat keluar kad sendiri untuk pelarian

SEMUA pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) hanya akan ditutup jika Malaysia dapat mengeluarkan kad tersendiri untuk digunakan pelarian dan pencari suaka yang datang ke negara ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, berkata setakat ini memang ada cadangan untuk menutup pejabat UNHCR di Malaysia, namun perkara itu mengambil masa untuk dilaksanakan.

“Sebenarnya apa yang berlaku ialah cadangan supaya satu transisi diadakan bagi Malaysia mempunyai kad tersendiri bagi digunakan untuk tujuan pelarian dan pencari suaka yang datang ke Malaysia, kalau itu boleh berlaku, maka pejabat UNHCR itu mungkinlah akan ditutup.

“Tetapi ini akan mengambil sedikit masa, pada waktu yang sama kerajaan Malaysia juga harus memberi jaminan kepada komuniti antarabangsa bahawa kita akan melaksanakan kerja ini lebih baik daripada UNHCR.

“Jadi, isunya bukan kewujudan pejabat UNHCR, isunya ialah bagaimana kerajaan Malaysia akan menguruskan kehadiran pelarian dan pencari suaka dengan cara lebih kemas dan sistematik,” katanya dalam sidang media di Kuantan, Pahang, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan dibuat Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad yang mendakwa pihaknya sedang meneliti penutupan operasi pejabat UNHCR di negara ini untuk membaiki pengurusan pelarian tanpa campur tangan asing.

Menurutnya lagi, MKN perlu memperkukuhkan mekanisme dirancang dan memastikan pelaksanaan mantap, baik dan teratur sebelum disyorkan kepada kerajaan.

Dalam pada itu, Saifuddin menjelaskan keputusan menutup atau meneruskan operasi pejabat UNHCR di negara ini tidak akan mengubah pendirian Malaysia dari sudut perikemanusiaan.

“Selama ini pun kita tidak meratifikasi  konvensyen berkaitan pelarian, tetapi kita sangat berperikemanusiaan dan sentiasa memberi bantuan sebaiknya kepada pelarian.

“Sejak zaman pelarian Vietnam tahun 1970-an dan kini (pelarian) Myanmar dan antara Vietnam dan Myanmar itu, kita ada (terima) pelarian dari Palestin dan Syria, bahkan kita layan mereka ini lebih baik dari negara yang meratifikasi konvensyen berkaitan pelarian,” katanya. – Malaysiapost

Komen