Bajet 2023 umpama bajet kais pagi makan pagi – Ibrahim Ali

Bajet 2023 umpama bajet kais pagi makan pagi – Ibrahim Ali

BAJET 2023 dilihat tidak sehebat mana walaupun ia boleh dikira bajet untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), kata Datuk Ibrahim Ali.

Presiden Parti Bumiputera Perkasa (Putra) itu berkata, Bajet 2023 tidak menyentuh langsung kejatuhan nilai mata wang negara dan kadar inflasi tinggi yang dihadapi rakyat ketika ini.

“Banyak isu utama tidak disentuh dan untuk rakyat miskin boleh disifatkan belanjawan kais pagi makan pagi. Belum tentu cukup makan.

“Seperkara penting yang tidak diambil kira dalam pembentangan belanjawan tahun ini ialah faktor kejatuhan nilai mata wang dan kadar inflasi dengan kenaikan kos harga barangan asas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Bajet 2023 berjumlah RM327 bilion dianggap terbesar dalam sejarah, namun apabila diambil kira kejatuhan nilai mata wang, jumlah itu dalam dolar Amerika Syarikat (USD) adalah sama dengan Bajet 2022, iaitu kira-kira USD90 bilion.

Justeru, Ibrahim menyifatkan segala ‘habuan’ yang diberikan kepada rakyat menerusi Bajet 2023 tidak dapat membantu meringankan beban mereka kerana kenaikan kos sara hidup ketika ini.

“Oleh itu, semua kenaikan kadar bantuan, seperti Bantuan Keluarga Malaysia dan lain-lain tidaklah banyak membantu, apabila diambil kira kenaikan kos sara hidup yang terpaksa ditanggung oleh kelompok B40.

“Manfaat yang diagihkan kepada rakyat tidak berlandaskan asas keperluan atau “need-base”. Misalnya, semua murid sekolah bakal mendapat Bantuan Awal Persekolahan tanpa mengira sama-ada ibu bapa mereka miskin atau kaya.

“Apalah nilai RM150 kepada seorang murid yang dihantar ke sekolah oleh pemandu dalam kereta mewah berhawa dingin, berbanding murid miskin yang terpaksa berjalan kaki berkilometer atau menaiki bas khas?

“Peruntukan bahagian bantuan yang diberikan kepada murid anak orang kaya sepatutnya diagih kepada murid miskin yang lebih memerlukan,” katanya. – Malaysiapost

Komen