GTA jamin laksana Bajet 2023 jika menang PRU15 – Tun M

GTA jamin laksana Bajet 2023 jika menang PRU15 – Tun M

TUN Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Bajet 2023 perlu ada sedikit penambahan, namun menerima sepenuhya dan memberi jaminan Gerakan Tanah Air (GTA) yang diterajuinya akan merealisasikan bajet tersebut sekiranya menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti. 

Beliau yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata, Bajet 2023 dilihat memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat yang sememangnya selari dengan kehendak GTA. 

“Bajet itu nampak seolah-olah akan bantu semua lapisan, iaitu beri wang kepada semua orang. Bagi saya, itu amat menarik dan saya berpendapat parti kita GTA juga nak amalkan bajet semacam itu.

“Kita mungkin kaji sama ada boleh perbaiki lagi, tapi bajet itu kita terima sepenuhnya. Jika GTA menang (PRU15), kami akan laksanakan semua yang terkandung dalam belanjawan yang dikemukakan itu.

“Jika ada tempat-tempat yang kita perlu perbaiki jadi lebih baik, kita akan usahakan, tapi kita tak akan kurangkan apa yang telah dimasukkan dalam belanjawan yang dikemukakan itu,” katanya menerusi video yang disiarkan di Twitternya, hari ini.

Bajet 2023 dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Jumaat lalu, memperuntukkan RM372.3 bilion bagi memastikan kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan, kemakmuran ekonomi dan kecekapan perkhidmatan kerajaan dapat dilaksanakan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, Bajet 2023 memberi tumpuan persediaan negara berdepan ketidaktentuan ekonomi yang agak tidak menentu pada tahun depan. -Malaysiapost

Komen