Hukuman gantung keahlian Mohd Yusof ditangguhkan

Hukuman gantung keahlian Mohd Yusof ditangguhkan

PENGGANTUNGAN keahlian Ketua Umno Bahagian Alor Setar Datuk Mohd Yusof Ismail, selama enam tahun ditangguhkan selepas rayuan dibuat kepada Lembaga Disiplin Umno.

Mohd Yusof berkata, penangguhan itu dibuat susulan rayuan dikemukakan Umno Bahagian Alor Setar kepada ibu pejabat Umno, baru-baru ini.

Beliau berkata, keputusan sama ada dilepaskan daripada penggantungan itu, akan ditentukan pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang akan datang.

“Status saya ketika ini ialah Umno Pusat menangguhkan keputusan penggantungan hinggalah mesyuarat MKT akan datang. Ini kerana untuk menggantung atau memecat ahli daripada parti, ia adalah bawah kuasa MKT.

“Umno Bahagian Alor Setar membuat rayuan kepada Umno Pusat dan ia dibincangkan. Susulan itu, Lembaga Disiplin membuat keputusan menangguhkan penggantungan. Maka, saya boleh aktif semula sebagai Ketua Bahagian.

“Keputusan penuh akan dibuat pada mesyuarat MKT nanti. Bila tarikh mesyuarat itu, saya tidak pasti tetapi biasanya ia diadakan sebulan sekali,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Pemuda Umno Bahagian Alor Setar di Bangunan Tunku, Alor Setar, malam tadi.

Mohd Yusof sebelum ini mendakwa beliau digantung keahlian selama enam tahun kerana sering membuat kritikan terhadap Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, secara tertutup.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan hingga kini masih belum dipanggil untuk memberi keterangan kepada Lembaga Disiplin Umno, selain tidak mengetahui punca dan kesalahan sebenar dirinya sehingga digantung keahlian.

Beliau bagaimanapun berterima kasih kepada Perdana Menteri yang juga Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Pengerusi Umno Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; dan ahli MKT yang membantu menyelesaikan isu berkenaan.

“Saya sebenarnya tidak tahu sebab apa digantung keahlian. Saya tidak pernah dipanggil Lembaga Disiplin dan tiada dinyatakan apa kesalahan pada parti. Tiba-tiba, saya digantung (keahlian).

“Saya beranggapan mungkin tulisan dan teguran saya dalam WhatsApp kumpulan ketua bahagian telah menjadi kesalahan tanpa saya sedari, maka saya diambil tindakan.

“Nak kata saya membuat sidang media (melawan Umno) di luar, tidak pernah. Malah, saya tidak pernah menentang Umno di luar dan sentiasa menyokong parti. Perkara ini menjadi iktibar kepada saya untuk masa depan,” katanya. – Malaysiapost

Komen