Jalan Tasik Kenyir memang laluan gajah liar – Perhilitan

Jalan Tasik Kenyir memang laluan gajah liar – Perhilitan

WARGA maya sekali lagi dikejutkan dengan kejadian sekumpulan gajah liar ditemukan melintas jalan dan mendaki bukit di Jalan Tasik Kenyir, Hulu Terengganu menerusi rakaman video yang tular di media sosial sejak semalam.

Ia adalah kejadian kedua yang melibatkan sekumpulan haiwan liar tersebut yang dilihat mendaki bukit di kawasan Simpang Kuala Betis-Lojing, Gua Musang beberapa hari lalu.

Menerusi hantaran di Facebook Danita Damia, dia melihat 14 ekor gajah liar tersebut ketika melalui Jalan Tasik Kenyir  pada pukul 1.40 petang.

Turut dimuat naik beberapa gambar dan video berdurasi tiga saat memaparkan kumpulan gajah berkenaan mendaki kawasan berbukit.

Mengulas kejadian tersebut, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong mengesahkan kejadian tersebut berlaku di kawasan tepi Tasik Kenyir di Hulu Terengganu.

Beliau menjelaskan berkata lokasi terbabit juga adalah laluan dan habitat semula jadi haiwan itu.

Katanya, kumpulan gajah yang dilihat bergerak secara berkumpulan di lokasi berkenaan tinggal di sekitar kawasan hutan berhampiran. – Malaysiapost

Komen