Kerajaan masih absah – PM

Kerajaan masih absah – PM

KERAJAAN masih lagi absah meskipun 12 menteri Kabinet Perikatan Nasional (PN) menolak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesemua menteri berkenaan bukannya menarik diri daripada jawatan masing-masing.

Menurutnya, mereka sebaliknya hanya mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan agar pembubaran Pparlimen tidak dibuat dalam masa terdekat.

Justeru, katanya tidak berlaku seperti mana yang terjadi kepada kerajaan sebelum ini apabila ada Ahli Parlimen yang menarik diri hingga menyebabkan kerajaan tumbang.

“Dia macam ini, dalam Perlembagaan, hilang sokongan apabila Ahli Dewan Rakyat menarik diri. Kena faham, ramai yang tak faham Perlembagaan bercakap, bila bercakap tak ikut Perlembagaan, itu yang orang jadi keliru.

“Sokongan tu adalah sokongan Ahli Dewan Rakyat, kalau mereka tarik diri dan kurang daripada 112 majoriti mudah maksudnya kerajaan tumbang seperti yang berlaku pada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Sebab tu seluruh Kabinet terpaksa meletakkan jawatan keseluruhan. Tapi kalau sokongan pada ahli dewan masih kekal, tak ada perubahan, tak ada isu mengatakan kerajaan tumbang,” katanya memetik MalaysiaGazette.

Perdana Menteri berkata demikian selepas majlis Sambutan Maulidur Rasul di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan apabila mengatakan keabsahan kerajaan ketika ini semakin berkurangan dengan tindakan 12 menteri PN mengutus surat kepada Agong berhubung pendirian gabungan itu menolak PRU-15 diadakan tahun ini.

Menurut Ahmad, langkah 12 menteri Kabinet PN itu mengurangkan sebanyak 40 peratus keabsahan kerajaan sedia ada.

Sebelum ini, media melaporkan 12 menteri berkenaan telah mengutus surat kepada Al-Sultan Abdullah berhubung pendirian gabungan itu menolak PRU15 diadakan tahun ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, jika ada menteri Kabinet yang meletak jawatan ketika ini, kerajaan masih lagi berfungsi seperti biasa kerana kekosongan jawatan itu akan diisi orang lain sebagai pengganti.

“Ini tak ada menteri yang letak jawatan, cuma tulis surat pada Yang di-Pertuan Agong supaya Parlimen tidak dibubarkan dan kuasa pembubaran Parlimen adalah Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong.

“Jadi, tak ada kesan keabsahan kerajaan kerana Ahli Parlimen masih beri sokongan seperti biasa,” ujarnya.

Sementara itu, ditanya sama ada Bajet 2023 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz akan dibahaskan di Dewan Rakyat, Perdana Menteri enggan menjawab kerana bimbang dijadikan spekuasi.

“Soalan ni kalau saya jawab dah ke arah spekulasi baru. Jadi tunggu dulu,” katanya. – Malaysiapost

Komen