Nak lihat Pas dan Bersatu berpecah? Lupakanlah – Chegu Bard

Nak lihat Pas dan Bersatu berpecah? Lupakanlah – Chegu Bard

PAS dan Bersatu tidak akan berpecah hanya kerana disebabkan rundingan antara Pas dan Umno yang bertujuan mewujudkan penyatuan ummah bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pemimpin Bersatu Johor, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali dengan panggilan Che’gu Bard, berkata beliau yakin dengan perkara itu kerana pucuk pimpinan Pas dan Bersatu mempunyai kesefahaman dalam perkara berkenaan.

Menurutnya, jika ada perundingan dengan parti-parti di luar Perikatan Nasional yang dibuat samada oleh Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang, kedua-duanya saling melaporkan hasil pertemuan itu.

“Jadi tidak ada syak wasangka antara kedua-duanya. Jadi, jika ada pihak yang ingin melihat Bersatu dan Pas berpecah disebabkan isu rundingan antara Pas dan Umno ini, lupakan sajalah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau merujuk kenyataan terbaru Abdul Hadi semalam yang menegaskan bahawa Pas akan meneruskan usaha penyatuan ummah melibatkan komitmen ketiga-tiga parti teras Melayu, iaitu Pas, Bersatu dan Umno bagi menghadapi PRU-15.

Menurutnya, kenyataan itu adalah konsisten dengan pendirian Pas sejak dari awal penubuhan kerajaan PN yang mahukan ketiga-tiga parti ini bergabung dalam Muafakat Nasional (MN).

Badrul Hisham turut berharap semua pihak akan hadapi PRU-15 secara ‘gentlemen’ atas semangat dan prinsip demokrasi.

“Saya yakin Bersatu dan Pas matang dalam menilai apa yang baik untuk rakyat dan negara ini, dan rakyat juga bijak menilai apa yang baik untuk mereka, insya-Allah,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan sebab Muhyiddin menyatakan Umno/Barisan Nasional (BN) adalah ‘musuh utama’ Bersatu, adalah ketetapan dibuat Umno dalam Perhimpunan Agungnya pada Mac 2021 untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu dalam PRU-15.

“Perhimpunan Agung adalah badan tertinggi yang membuat keputusan bagi parti Umno. Keputusan ini mengikat Umno dan sehingga kini keputusan tersebut tidak berubah.

“Maka, bolehlah dianggap Umno akan memerangi Bersatu habis-habisan dalam PRU-15,” katanya. – Malaysiapost

Komen