Nama Malaysia terjejas di mata dunia angkara Umno -Muhyiddin

Nama Malaysia terjejas di mata dunia angkara Umno -Muhyiddin

NAMA Malaysia di mata dunia terjejas sejak beberapa tahun kebelakangan ini angkara kesilapan beberapa pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN). 

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebelum ini Malaysia terkenal di seluruh dunia bukan hanya kerana pembangunan fizikalnya sahaja, tetapi juga dari aspek pembangunan manusia, sosial dan ekonomi.

“Bagaimanapun sejak beberapa tahun kebelakangan ini kesilapan beberapa pemimpin dari parti Umno dan Barisan Nasional (BN) telah menyebabkan kedudukan Malaysia merosot sehingga menjejaskan imej baik selama ini.

“Lebih mendukacitakan, negara juga semakin rosak sehingga ke tahap memalukan kerana perbuatan tidak amanah, rasuah, tidak bertanggungjawab segelintir pemimpin.

“Tindak-tanduk mereka juga menyebabkan kesusahan kepada kehidupan rakyat,” katanya di Facebook, hari ini. 

Presiden Bersatu itu berkata, lantaran itu keberadaan partinya dalam kancah politik negara, hanya memiliki satu matlamat besar iaitu meletakkan negara ke satu tahap yang lebih mulia dan kembali dihormati.

Muhyiddin yang merupakan Ahli Parlimen Pagoh berkata, penubuhan Bersatu juga bertujuan mengembalikan semula kedudukan negara ke tahap yang lebih baik dan rakyat dapat menikmati kekayaan ekonomi negara dengan saksama.

“Saya percaya Bersatu dan Perikatan Nasional dapat menawarkan sesuatu yang lebih baik kepada rakyat dan negara ini sebagaimana dibuktikan ketika menjadi kerajaan sebelum ini.

“Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk menerangkan kepada seluruh rakyat tentang keperluan memilih Bersatu dan Perikatan Nasional dalam pilihan raya akan datang bagi mengelakkan musibah yang lebih dasyat berlaku ke atas negara ini,” katanya.

Justeru, Muhyiddin mengajak rakyat berfikir dan membayangkan sekiranya Umno dan BN berkuasa semula, dengan segala perangai lama iaitu rasuah, kleptokrasi, salah guna kuasa, dan penyelewengan pasti akan berulang.

Muhyiddin menegaskan, seluruh ahli PN perlu lebih agresif dalam gerak kerja parti terutama dalam menambah bilangan ahli seramai mungkin selain mempersiapkan diri dan jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 yang dijangka tidak lama lagi. -Malaysiapost

Komen