Netizen pelik pegawai agama doa tambah isteri

Netizen pelik pegawai agama doa tambah isteri

DOA yang dibaca seorang individu dipercayai pegawai Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) telah mencuri perhatian netizen baru-baru ini.

Netizen tampil mempersoalkan individu terbabit yang mendoakan agar lelaki di jabatan tersebut ditambahkan isteri sekali gus menyuburkan konsep poligami.

Malah, terdapat netizen mengecam doa ‘tambah isteri’ yang seolah-olah mencemarkan nama baik mereka yang terlibat dengan jabatan keagamaan.

“Biar betul doa macam tu? Kenapa doa macam ini dibenarkan, memalukan imej Islam saja,” kata netizen.

Menerusi video dimuat naik semula pengguna Twitter dikenali @RajaMohdShahrim, dilihat seorang lelaki bersongkok berdoa secara berjemaah dalam majlis tertutup anjuran jabatan berkenaan.

Lelaki itu memohon doa agar diberikan rezeki yang mencurah bagi melayari bahtera kehidupan selain menambah isteri lebih daripada seorang.

Lebih mengejutkan, pegawai berkenaan dalam doanya memohon kepada Allah agar jabatan Islam menjadi jabatan yang terbaik serta melahirkan suami yang paling ramai poligami pada jabatan tersebut.

Sementara itu memetik Sinar Harian, Pengarah Jawi, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, siasatan mendapati bacaan doa tersebut adalah di luar daripada teks doa yang telah ditetapkan pihak penganjur.

“Justeru tindakan nasihat dan teguran telah diberikan terhadap pegawai berkenaan yang merupakan Ketua Imam di salah sebuah masjid di Wilayah Persekutuan agar mematuhi garis panduan dan teks doa yang ditentukan oleh pihak Jawi pada masa akan datang,” katanya. -Malaysiapost

Komen