Pengundi Pahang kena buat perubahan

Pengundi Pahang kena buat perubahan

Ben Ibrahim

RAKYAT Pahang terutamanya yang boleh mengundi perlu berani membuat perubahan dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) jika ingin kerajaan negeri yang lebih berintegriti.

Pengarah Strategi Pakatan Harapan (PH) Pahang, Ahmad Nizam Hamid berkata, perubahan daripada kerajaan negeri ditadbir Barisan Nasional (BN) ketika ini hanya boleh dilakukan melalui kuasa undi dimiliki rakyat.

“Walaupun kita belum tahu bila PRU-15 akan diadakan, tetapi kita percaya PH mempunyai kemampuan untuk mentadbir Pahang.

“Justeru itu, saya ajak semua rakyat Pahang untuk membuat perubahan dan perlu memiliki keberanian untuk memilih PH dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya ketika menyampaikan ceramah sempena program Jelajah PH Pahang di Beserah, dekat Kuantan, malam tadi.

Ahmad Nizam berkata, PH juga akan memastikan pengkhianat dalam parti tidak dipilih sebagai pemimpin kerana ia akan merosakkan keharmonian parti.

Katanya, hanya pemimpin yang setia dengan perjuangan asal parti akan diberi peluang untuk terus berkhidmat.

“PH juga akan merampas kembali kerusi ‘pengkhianat’ di Parlimen Indera Mahkota dan akan menawan kerusi dewan undangan negeri (DUN) Beserah yang kini disandang wakil daripada PAS,” katanya.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda PH Pahang, Young Syefura Othman berkata,  rakyat Pahang perlu membuat perubahan kerana ini adalah masa paling tepat.

“Selama lebih 60 tahun BN mentadbir, banyak isu rakyat seperti masalah air, tanah dan banjir gagal ditangani dengan berkesan.

“Mereka (BN) tidak menyelesaikan isu ini sampai sekarang, adakah kita nak beri peluang lima tahun lagi kepada mereka.

“Jadi, masanya sudah tiba untuk rakyat tukar dan beri peluang kepada PH mentadbir Pahang,” katanya yang juga ahli dewan undangan negeri (Adun) Ketari. – Malaysiapost

Komen