PH tak takut hadapi PRU-15 musim banjir – Rafizi Ramli

PH tak takut hadapi PRU-15 musim banjir – Rafizi Ramli

TIMBALAN Presiden PKR Rafizi Ramli yakin Umno dan Barisan Nasional (BN) akan menyesal jika mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tahun ini terutama ketika negara diramal mengalami banjir.

Menurutnya, khabar angin yang diterima kuat mengatakan Parlimen akan dibubarkan esok dan tarikh pilihan raya besar kemungkinan pada pertengahan November.

Beliau berkata, jika perkara itu benar maka negara akan menghadapi pilihan raya dalam musim hujan dan lebih teruk jika berlaku banjir seperti diramalkan.

“Ini adalah masalah paling besar apabila keputusan-keputusan besar dan ada kesan kepada rakyat sebegini akhirnya dibuat tanpa mengambil kira soal kebajikan rakyat.

“Umno/BN mengatakan PKR dan Pakatan Harapan (PH) tidak berani nak hadapi pilihan raya, tetapi hakikatnya kami sudah lama masuk bertanding.

“Jadi yang takut pilihan raya ini adalah kerajaan..kita dah biasa jadi pembangkang, menang kalah ni dah biasa. Jadi tiada soal takut,” katanya ketika berucap pada program Jelajah Trak Ayuh Malaysia Parlimen Tanjung Malim, malam tadi.

Rafizi berkata, apa yang jadi masalah bila pilihan raya diadakan tahun ini adalah membabitkan soal nyawa rakyat dengan ramalan ramalan cuaca menjangkakan banjir tahun ini lebih teruk daripada sebelum ini.

“Kita bangkang untuk tidak buat pilihan raya sekarang bukan soal menang atau kalah. Saya yakin kalau adakan pilihan raya pertengahan November pun PH masih lagi menjadi blok paling besar di Parlimen dan bukannya Umno/BN.

“Kalau bubar hari Isnin kita akan masuk (bertanding) kita bukan takut, tetapi saya harap kita berdoa jangan banjir teruk walaupun ramalan cuaca hujan lebat bermula pertengahan Oktober dan memuncak pada pertengahan November,” katanya.

Beliau berkata, bantahan demi bantahan langsung tidak dipedulikan pimpinan Umno dan BN, maka PH bersedia untuk hadapi PRU-15 jika diadakan dalam tempoh terdekat.

“Kalau bubar..bubarlah..kalau bubar kita kena siap sedia dua perkara, bersedia untuk buat perubahan dan bersedia bantu mangsa banjir. Kalau tak bubar kita teruskan beri penerangan dan bawa arus perubahan yang sedang berlaku.

“Saya yakin Zahid Hamidi (Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) akan menyesal dengan keputusannya sekarang ini yang begitu bongkak dan yakin boleh menang dalam pilihan raya.

“Sebab saya tidak nampak tanda-tanda itu kerana yang saya nampak saingan sengit antara PH dan BN. Kalau kena cara PH akan membentuk kerajaan selepas pilihan raya ini,” katanya. – Malaysiapost

Komen