PM mahu rakyat bersenam, aktif

PM mahu rakyat bersenam, aktif

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meningkatkan lagi pembudayaan dan pencapaian sukan tanah air.

Beliau berkata, antara usaha yang boleh dilakukan adalah menawarkan biasiswa selain peluang melanjutkan pelajaran kepada atlet-atlet cemerlang dan berjaya memenangi pingat Sukan Malaysia (SUKMA) dan kejohanan peringkat antarabangsa yang diiktiraf kerajaan.

Katanya, selain itu bekas-bekas atlet yang berkemahiran akan dipertimbangkan sebagai Jurulatih Pendidikan Jasmani dan akan dilibatkan dalam inisiatif pencarian bakat sukan melalui program ‘My Talent Identification’.

“Bersama-sama kita menyokong usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan dengan sasaran sekurang-kurangnya dua per tiga rakyat Malaysia bersenam dan aktif bersukan sekurang-kurangnya lima sesi seminggu dan 30 minit setiap sesi,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Dalam hantaran itu juga, Ismail Sabri menzahirkan rasa seronok dapat bersukan bersama-sama Keluarga Malaysia di Putrajaya sempena Hari Sukan Negara 2022, yang berlangsung semalam.

“Hari Sukan Negara meletakkan aktiviti sukan dan riadah sebagai satu medium bagi menerapkan gaya hidup aktif dan cergas sepanjang hayat,” ujarnya.

Semalam, Perdana Menteri merasmikan sambutan Hari Sukan Negara 2022 yang dihadiri lebih 20,000 peserta di Dataran Istana Kehakiman Putrajaya.

Hari Sukan Negara yang kembali diadakan dengan skala besar pasca Covid-19 menyaksikan sebanyak 56 acara dan aktiviti peringkat kebangsaan diadakan kali ini. – Malaysiapost

Komen