Sifat keibuan wanita pastikan kempen ‘Keluargaku Pengundi BN’ berjaya

Sifat keibuan wanita pastikan kempen ‘Keluargaku Pengundi BN’ berjaya

WANITA Umno diseru menjayakan kempen ‘Keluargaku Pengundi BN’ bagi memastikan Barisan Nasional (BN) menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini. 

Ketua Penerangan Wanita Umno Datuk Norshida Ibrahim berkata, setiap ahli sayap Umno itu perlu memainkan sifat keibuan yang dimiliki bagi memastikan semua ahli keluarga terutamanya kepada anak mereka yang baru pertama kali layak mengundi. 

“Wanita ini ada sifat keibuan, sifat mudah didekati, gunakan kelebihan ini untuk memastikan terutama jika ada anak golongan pengundi 18 ini yang masih mentah, tidak celik politik, berikan mereka sentuhan keibuan, nasihat, beri kesedaran untuk mengundi BN. 

“Kita (wanita) mesti sambut kempen ‘Keluargaku Pengundi BN’. Walaupun ia cetusan veteran Umno, tapi kita ni wanita mahu pun puteri dan pemuda kita kena sambut sebab semuanya bermulanya dari rumah kita. 

“Bukan orang luar boleh mendidik, memberi kesedaran kepada ahli-ahli keluarga kita untuk mengundi BN. Jangan biarkan mereka terus hanyut dan termakan hasutan pembangkang,” katanya. 

Norshida berkata demikian dalam program Sudut Pandang anjuran Malaysiapost, malam tadi. 

Menjelaskan mengenainya, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Buloh Kasap itu berkata, menjadi satu kerugian sekiranya ahli Umno gagal memastikan kesemua ahli keluarga mereka menjadi pengundi BN pada PRU15 ini. 

“Untuk apa kita jadi ahli parti, orang kuat parti sekiranya suami, isteri dan anak-anak kita tidak mengundi BN. Maknanya kita ni hipokrit, berpura-pura melihatkan kita orang Umno, sebaliknya kita gagal mendidik, mempengaruhi keluarga kita sendiri untuk mengundi BN. 

“Bagi saya di Bahagian saya sendiri, saya tetap akan membawa kempen ini. Saya juga menyeru bermula dari sekarang wanita mesti membawa kempen Keluargaku Pengundi BN bagi memastikan PRU15 nanti BN peroleh kejayaan,” katanya. -Malaysiapost

Komen